KL City Dan KDA FC Kini Antara Penyumbang Penting Mata MA Ranking Negara

Kuala Lumpur City FC dan Kedah Darul Aman FC kini menjadi antara penyumbang mata MA Ranking negara pada musim ini selepas JDT.

Berdasarkan kemaskini laman Footy Ranking, Malaysia kini memperolehi tambahan 2.475 mata selepas dua wakil negara itu melayakkan diri ke pusingan separuh akhir Zon Asia Tenggara.

Tambahan mata tersebut bagaimana pun tidak memberi perubahan kepada kedudukan Malaysia yang kekal berada di tangga kesembilan daripada 40 negara yang berada di dalam senarai.

Berdasarkan kedudukan terkini, Malaysia akan diberikan slot 2+2 untuk pertandingan AFC Champions League (ACL) pada musim 2024/25.

Adalah penting untuk KL City dan KDA FC mengekalkan rentak cemerlang di pertandingan Piala AFC pada musim ini bagi memastikan kutipan mata dapat diteruskan, mengambil kira Vietnam mengikut rapat di kedudukanย  ke-10 dengan kutipan mata keseluruhan 43.905.

Sumber: Footy Ranking

Malaysia juga terus berpeluang menambah mata dan menambah jurang perbezaan mata dengan Vietnam sekiranya JDT berjaya mengekalkan prestasi cemerlang mereka di pertandingan ACL yang akan bersambung pada Ogos nanti.

KL City dan KDA FC masing-masing layak ke separuh akhir Zon Asia Tenggara Piala AFC selepas muncul juara kumpulan masing-masing.

KDA FC muncul juara Kumpulan G selepas merekodkan dua kemenangan, termasuk kejayaan membelasah Visakha FC 5-1 pada malam tadi dan tewas sekali.

KL City FC mengesahkan tiket ke separuh akhir zon ASEAN Piala AFC menerusi kemenangan 2-1 ke atas Tampines Rovers di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Sekalipun gagal mengetepikan PSM Makassar yang mengungguli Kumpulan H dengan perbezaan jaringan namun anak buah Hodak mara ke pusingan seterusnya sebagai naib juara terbaik.

Kongsi artikel ini