Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin sempat membalas tawaran Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang menganggap beliau sebagai bakal Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Selain itu pemilik JDT itu turut membayangkan Khairy akan ditawarkan jawatan sebagai Penasihat Belia Negeri Johor.
Tawaran itu datang daripada TMJ sendiri kurang daripada 24 jam selepas Khairy dipecat sebagai ahli UMNO.
Membalas tawaran yang dikemukakan oleh TMJ itu, Khairy turut menjawab melalui IG Story beliau: “Satu pintu tertutup, pintul lain pula akan dibuka. Rezeki di tangan Allah,” tulis Khairy yang turut pernah menjawat jawatan Menteri Kesihatan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) pada penghujung tahun lalu.
Walaupun kerjaya politik Khairy kini kelihatan terumbang ambing selepas menjadi salah seorang daripada 44 individu yang dipecat keanggotaan semalam, ahli politik berusia 47 tahun itu dilihat masih memiliki pengaruh dan dianggap popular di kalangan negara, terutamanya peminat sukan dan bola sepak di negara ini.
Pernah menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan, Khairy juga adalah bekas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 2007.
Visi dan usahanya juga telah menghasilkan Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) sehingga pembukaan Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) yang kini menjadi antara pengeluar terbesar pemain muda di negara ini.
TMJ nyata tidak menunggu lama untuk menyambar khidmat Khairy selepas beliau dipecat daripada UMNO.
TMJ menerusi hantaran di IG Storynya menulis kapsyen:
“Bakal CEO JDT FC dan Penasihat Belia Negeri Johor.”
JDT kini sedang sibuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi musim baharu dan kini sedang menjalani latihan dan perlawanan persahabatan pra musim di Dubai berdepan dengan beberapa kelab dari Eropah.
JDT mencipta sejrah pada musim lalu apabila menyapu bersih semua trofi domestik yang dipertandingkan dan kini dalam misi mempertahankan kesemua kejuaraan tersebut pada musim akan datang.
JDT sudah mengumumkan kemasukkan beberapa muka baharu di dalam pasukan mereka termasuk ketua jurulatih, Esteban Scolari dan jurulatih kecergasan juara Piala Dunia Argentina, Rodrigo Barrios.
Nampaknya JDT masih lagi pasukan pilihan utama untuk menjadi juara Liga Super musim hadapan.