“Kita Terpaksa Bawa ‘Roller’ Sendiri” – Khalid Samad Anggap Pihak Jaga Stadium Sekadar Berniaga, Tidak Tahu Keperluan Bola Sepak

Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad secara terbuka membidas pihak yang sepatutnya membuat penyelenggaraan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur tetapi gagal melaksanakannya seperti yang diharapkan.

Melalui sidang media di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur semalam, Khalid meluahkan kekecewaannya itu kerana tindakan lepas tangan pihak terbabit hampir mencalarkan imej Kuala Lumpur City FC (KL City) sebagai tuan rumah peringkat kumpulan pertandingan Piala AFC 2022 yang diadakan di stadium tersebut baru-baru ini.

Malah akibat kegagalan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan tugas penyelenggaraan yang sepatutnya mereka lakukan menyebabkan KL City terpaksa mengambil inisiatif sendiri demi memastikan pertandingan tersebut boleh diadakan dengan lancar.

“Kita terpaksa bawa ‘roller’ sendiri untuk menyiapkan padang walaupun padang bukan bawah jagaan KLFA. Stadium ini sudah dipajak kepada satu syarikat swasta yang dahulu kononnya mahu jadi rakan kongsi KL City FC namun tidak berjaya.

“Mereka tidak menjalankan penyelenggaraan seperti sepatutnya dan kita yang terpaksa membaikinya walaupun tidak 100 peratus berada dalam keadaan yang memuaskan,” kata beliau seperti yang dipetik daripada Berita Harian.

Menurut Khalid lagi keadaan padang sebenarnya dalam keadaan tidak memuaskan, selain lampu limpah yang tidak mencapai piawaian ditetapkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebelum pertandingan tersebut diadakan.

“Perlawanan Piala AFC di sini sepatutnya menjadi kebanggaan namun kita [KL City]bertindak dengan cepat dan berjaya menyelamatkan satu keadaan yang berpotensi untuk memalukan negara,” tambahnya lagi.

Untuk menyelesaikan isu itu, Khalid menggesa agar pihak DBKL menyerahkan sahaja tugas penyelenggaraan stadium kepada pihak pengurusan kelab kerana berpendapat mereka lebih tahu apa yang diperlukan untuk menjadikan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur menjadi venue yang sesuai untuk bola sepak.

Menurut Khalid lagi pihak tersebut hanya melakukan perniagaan dan tidak pernah mengambil berat masalah yang dihadapi oleh KL City.

“Kita mahukan stadium dijaga dengan baik dan mencapai kualiti yang menepati standard. Kita harap pajakan itu dapat dikaji semula dan DBKL melihat persoalan ini kerana pihak yang menjaga stadium ketika ini tiada kepentingan dan bukan pasukan bola sepak.

“Kita harapkan DBKL dapat melihat perkara ini dan sama ada diuruskan oleh DBKL sendiri ataupun pada KLFA, lebih baik pada KL City FC,” katanya.

Kongsi artikel ini