Kisah Sugimin Hidayatullah, Pemain Misteri Dari Indonesia Yang Gemparkan Nusantara Kerana Sertai Real Madrid

Dunia tanpa sempadan bermakna informasi boleh diperolehi dengan pantas walaupun berlaku di sebelah benua yang lain,

Ini pula kisah seorang pemain dari Indonesia, dikenali sebagai Sugimin Hidayatullah yang pernah mencuri penyokong seluruh nusantara dan media antarabangsa pada 2012.

Merupakan susuk yang tidak dikenali sebelum itu, nama Sugimin Hidayatullah tiba-tiba meniti bibir peminat bola sepak negara jiran, sekali gus menjadi kebanggaan bola sepak Indonesia kerana pemain itu dilaporkan diikat gergasi Sepanyol, Real Madrid.

Bahkan, ada yang mengatakan nilai kontrak yang diterima Sugimin daripada Los Blancos mencapai angka 7 juta euro. Lantas, siapakah Sugimin Hidayatullah?

Bermulanya cerita

Kisah mengenai Sugimin Hidayatullah pertama kali dikongsi oleh sebuah akaun Twitter bernama Pangeran Siahaan.

Ciapan Pangeran Siahaan mengenai Sugimin direkrut oleh Real Madrid pantas menarik perhatian warganet, dan kemudiannya menjadi berita sensasi di seluruh Indonesia.

Kononnya perpindahan Sugimin melibatkan Jorge Mendes, seorang super ejen di dalam dunia bola sepak yang turut mewakili pemain seperti Cristiano Ronaldo.

Melalui ciapan yang dilakukannya, Pangeran Siahaan turut menjelaskan kebolehan dan kualiti yang dimiliki Sigumin seperti kepantasan dan corak permainan explosif yang menarik minat Los Blancos.

Pangeran Siahaan turut berkongsi Sugimin diberi nama jolokan El Piji oleh media Sepanyol kerana kemampuan pemain itu.

Kemudian deretan kisah mengenai Sugimin di dalam bentuk video turut mulai tular, menunjukkan kebolehan pemain itu menimang bola lagak superstar, dan ia diikuti oleh artikel-artikel berkaitan menceritakan proses Sugimin menyertai Real Madrid.

Anehnya, Sugimin bukanlah pemain produk liga kebangsaan Indonesia. Tetapi pemain yang kononnya menarik perhatian Jorge Mendes untuk mewakilinya itu sebenarnya dibesarkan di pinggiran Sungai Ciliwung, dan bakatnya dikesan ketika kejohanan antara kampung di Kendari, Sulawesi Selatan.

Dunia tipu-tipu

Sudah lumrah manusia, gemar percaya apa sahaja yang mereka mahu percaya sahaja. Walaupun timbul pelbagai video dan laporan artikel di media, rupa-rupanya susuk Sugimin Hidayatullah hanyalah rekaan semata-mata.

Pangeran Siahaan yang pertama kali memperkenalkan susuk pemain ini rupa-rupanya sengaja menyebarkan berita palsu.

Pangeran Siahaan mempunyai sebab tersendiri berbuat demikian. Ini kerana dia kecewa melihat tertalu banyak liputan pemain berasal dari Indonesia menjalani trial di eropah, tetapi tiada seorang pun yang membuahkan hasil dan bergelar bintang.

Watak ‘tipu-tipu’ Sugimin Hidayatullah yang diwujudkan oleh Pangeran Siahaan sebenarnya meniru watak Masal Bugduv yang pernah dibuat oleh seorang wartawan dari Ireland.

Watak Masal Bugduv sengaja diada-adakan kerana wartawan tersebut kecewa dengan khabar angin mengenai nilai perpindahan yang tidak masuk akal.

Penipuan tersebut nyata berjaya menipu ramai peminat bola sepak dan media di Indonesia. Jangankan di Indonesia. Berita mengenai Sugimun Hidayatullah turut pernah mendapat liputan media antarabangsa seperti The Times.

Selepas 10 tahun berlalu, nama Sugimin Hidayatullah terus diingati sebagai legenda di dalam kamus bola sepak Indonesia.

Kongsi artikel ini