Kisah Percintaan Susi Susanti & Alan Budikusuma, Pasangan Badminton Yang Diikat Emas Barcelona 92′

Bagi peminat badminton dunia, nama Susi Susanti dan Alan Budikusuma bukanlah nama yang asing lagi. Kedua-duanya pernah mendominasi acara badminton perseorangan lelaki dan wanita, pada satu ketika dahulu.

Selain itu, Susi Susanti dan Alan Budikusuma pernah menjadi salah satu pasangan yang paling dikenali di Indonesia dan juga dunia badminton.

Sepasang emas di yang dimenangi di Sukan Olimpik Barcelona pada 1992 menjadi simbol ikatan kedua-duanya, sehinggalah kedua-duanya mendirikan rumahtangga pada 1997.

Kisah cinta dunia badminton

Sebenarnya Susi dan Alan sudah lama menjalin hubungan cinta. Malah ia lebih lama sebelum berlangsungnya Sukan Olimpik 1992 di Barcelona, dan sebelum kedua-duanya menjadi pemain badminton terkenal dunia.

“Kami bercinta sejak tahun 1988,” kata Susi. “Namun jangan disalahertikan, kerana perjalanan percintaan kami tidak sama seperti yang dilalui olehremaja-remaja lain.

“Status kami saja yang bercinta, namun kami tetap sibuk dengan latihan masing-masing,” jelas Susi.

Namun demikian status percintaan Alan dan Susi sudah pun tular di kalangan peminat badminton Indonesia, menyebabkan hubungan mereka sering dijadikan kambing hitam jika kekalahan datang.

“Misalnya jila saya mengalami kekalahan di sebuah kejohanan, pasti ditanya adakah saya sedang mengalami masalah di dalam hubungan percintaan [dengan Alan].

“Padahal [kekalahan] itu sama sekali tak ada kaitan, kerana saya memang telah dikalahkan,” ujar Susi sambil tertawa ketika mengisahkan kisah percintaan beliau dengan Alan dalam satu temubual bersama CNN.

Ditentang orang tua

Hubungan Susi dan Alan sendiri juga pernah ditentang oleh beberapa pihak pada awalnya, termasuk oleh orang tua masing-masing.

“Bukan apa-apa. Mereka hanya ingin kami memberikan fokus kepada karier masing-masing sebagai pemain badminton.

“Namun saya dan Alan sepakat untuk membuktikan bahawa hubungan kami bukanlah penghalang bagi kami untuk berjaya.”

Oleh kerana itu, Alan sering kali tampil membantu Susi dalam latihan, dan begitu juga sebaliknya. Mereka berdua sering berbincang mengenai kelebihan dan kekurangan masing-masing yang dinilai ketika pertandingan.

Tekad dan kerja keras Susi dan Alan akhirnya membuahkan hasil. Alan dan Susi tampil sebagai rakyat Indonesia pertama yang mempersembahkan pingat emas dari Sukan Olimpik untuk rakyatnya melalui acara perseorangan badminton lelaki dan wanita.

Tidak kurang 500,000 rakyat Indonesia menanti kepulangan kedua-duanya di Jakarta dan berarak meraikan kedua-dua pemenang pingat emas ini pada ketika itu.

“Pada ketika itu Pak Try (Soetrisno) yang menjawat jawatan Ketua Umum PBSI turut berkata akan menikahkan kami secepat mungkin selepas menang di Barcelona,” sambung Susi.

Malah selepas memenangi emas di Barcelona, Alan dan Susi seperti telah diberikan restu oleh seluruh Indonesia untuk menjadi pasangan.

Namun bagi kedua-duanya, hubungan tersebut dijalani seperti biasa sahaja.

“Kami tetap menjalani hubungan seperti biasa. Tidak ada sama sekali perasaan ‘lebih istimewa’ karena sudah memenangi pingat emas Olimpik,” tutur Susi lagi.

Setelah lama pacaran, pasangan ini akhirnya mengumumkan niat untuk mendirikan rumah tangga pada tahun 1997. Keadaan sama seperti saat mereka mulai diketahui umum mempunyai hubungan, niat mereka kali ini turut dipersoalkan ramai pihak.

“Ada beberapa orang yang meminta saya menunda rancangan untuk berkahwin. Mereka kata tunggu dua tahun lagi. Tetapi kami sudah tetap pada keputusan kami,” ujar Susi.

“Namun saat itu saya juga berjanji untuk tetap bermain selama dua tahun sebelum memilih untuk bersara sepenuhnya.”

Kekesalan di Sukan Asia 1998

Jika ada kekesalan yang masih disimpan oleh Susi, ia pasti datang dari Sukan Asia pada 1998. Pingat emas pada temasya tersebut adalah sasaran Susi, namun ia terpaksa dikorbankan oleh beliau pada ketika itu.

Malah rancangan untuk bersara hanya selepas dua tahun mendirikan rumah tangga juga gagal untuk diturutkan, apabila beliau mendapati dirinya hamil.

“Saya disahkan hamil, malah ketika beraksi di final Terbuka Singapura, saya sudah hamil lima minggu,” kata Susi.

View this post on Instagram

Enjoy holiday with family😍😍

A post shared by Susy Susanti (@susysusantiofficial) on

Pada ketika itu Susi berada di dalam kebimbangan. Susi harus memilih untuk menggugurkan janin demi bermain di Sukan Asia atau melupakan impian itu dan meneruskan kehamilan.

“Semua pihak menyerahkan keputusan di tangan saya. Setelah saya berfikir, akhirnya saya memilih untuk meneruskan kehamilan kerana saya berpendapat kandungan ini adalah anugerah dari Tuhan dan saya berdosa jika saya menggugurkannya,” ujar Susi.

Susi pun akhirnya terus menjaga kehamilannya, melupakan Sukan Asia pada 1998, dan terus menggantung raket.

 

Kongsi artikel ini