Kisah Konspirasi Askar Junta & Penculikan Cruyff Sebelum Piala Dunia 1978

Antara misteri terbesar dalam sejarah bola sepak dunia ialah mengapakah Johan Cruyff tidak menyertai skuad Belanda ke Piala Dunia 1978 yang berlangsung di Argentina.

Johan Cruyff berada pada kemuncak prestasi pada tahun 1978. Belanda terkenal dengan bola sepak ‘total football’ yang turut diperagakan oleh Cruyff di Piala Dunia 1974 ketika di bawah bimbingan Rinus Michels.

Selepas menampilkan corak permainan menarik dan mengkagumkan pada 1974, Belanda sentiasa dianggap sebagai pasukan pilihan untuk aksi di pentas antarabangsa.

Kehilangan Cruyff kemudiannya menjadi tanda tanya peminat bola sepak di seluruh dunia pada ketika itu.

Walaupun tanpa kelibat Cruyff, Belanda masih mampu melayakkan diri sehingga ke perlawanan akhir Piala Dunia 1978.

Perlawanan akhir Piala Dunia edisi 1978 turut menjadi perlawanan yang dipalit kontroversi.

Belanda tewas perang psikologi?

Selepas kekalahan, Belanda menuduh Argentina yang juga merupakan negara penganjur sengaja untuk melewatkan perlawanan untuk menganggu fokus pemain-pemain mereka.

Pasukan tuan rumah keluar lewat dari bilik persalinan, memaksa perlawanan tertangguh apabila Argentina mempersoalkan plaster yang digunakan oleh pemain Belanda, René van de Kerkhof di pergelangan tangan.

Karenah Argentina sebelum sepak mula perlawanan akhir menimbulkan ketegangan di kalangan pemain-pemain dam pegawai dari kedua-dua buah pasukan di hadapan puluhan ribu penonton di Estadio Monumental, Buenos Aires.

Embed from Getty Images

Pemain penyerang Mario Kempes memberikan gol pendahuluan buat pasukan tuan rumah pada separuh masa pertama. Namun Dick Nanninga berjaya memadam kelebihan itu sebelum wisel panamat perlawanan ditiupkan.

Argentina akhirnya bergelar juara Piala Dunia 1978 apabila menambah dua lagi gol pada masa tambajan menerusi jaringan Kempes pada minit ke-104 dan Daniel Bertoni – melengkapkan kemenangan bergaya 3-1 buat tuan rumah.

Embed from Getty Images

Tewas perlawanan akhir dalam dua edisi Piala Dunia secara berturut-turut jelas sukar diterima Belanda yang memboikot acara penyampaian medal.

Timbul persoalan adakah keputusan akan berbeza jika Johan Cruyff berada di dalam pasukan?

Kehilangan Cruyff sebelum kejohanan menjadi tanda tanya peminat bola sepak di seluruh dunia selama 30 tahun sehingga pendedahan sebenar didedahkan oleh beliau sendiri.

Konspirasi Junta?

Di sebali ketiadaannya di Argentina pada 1978, Cruyff terus membisukan diri tanpa sebarang kenyataan. Sikap pemain itu yang memilih untuk membisu menimbulkan pelbagai andaian daripada pelbagai pihak.

Ada andaian Cruyff tidak senang dengan Persatuan Bola Sepak Belanda berkaitan hak tajaan. Tanggapan sedemikian menyebabkan sikap patriotik Cruyff terhadap negaranya dipersoalkan.

Embed from Getty Images

Satu lagi teori mengenai ketiadaan  Cruyff adalah kerana protes dan kritikan lantang yang ditunjukkan oleh pemain itu terhadap kerajaan Argentina yang dikuasai oleh askar Junta pada masa itu.

Atau mungkinkah Cruyff menjadi alat politik sesetengah pihak? Adakah ketidakhadiran Cruyff bersama skuad Belanda merupakan komplot terancang berkaitan dengan pemerintahan Junta? Adakah ianya satu konspirasi daripada pihak berkepentingan?

Sebagai tuan rumah Piala Dunia 1978, ia memberikan kelebihan politik kepada kerajaan junta yang menguasai negara melalui rampasan kuasa untuk mengubah persepsi dunia.

Embed from Getty Images

Jorge Rafael Videla (gambar atas) adalah presiden askar junta yang memenangi peperangan yang digelar Coup d’état pada 1976.

Askar Junta memerintah Argentina di antara 1976 sehingga 1983 dan dikaitkan dengan pelbagai isu membabitkan pelanggaran hak asasi manusia, termasuklah kehilangan individu-individu penting dari puak pembangkang.

Ketegangan politik di Argentina pada ketika itu mengundang kecaman dunia. Belanda merupakan salah sebuah negara yang paling vokal membantah kerajaan junta dalam hal pelanggaran hak asasi manusia di Argentina.

Walaupun tidak memboikot Piala Dunia 1978, ada pihak bertanggapan ketiadaan Johan Cruyff adalah kerana arahan atau pengaruh pihak tertentu, sebagai bantahan kepada pemerintahan junta di Argentina.

Pendedahan Cruyff

Akhirnya selepas 30 tahun, Johan Cruyff bersedia untuk mendedahkan perkara di sebalik ketiadaannya di Piala Dunia 1978.

Dua tanggapan ramai pada ketika itu adalah salah. Cruyff tidak mempunyai masalah dengan pihak persatuan, dan turut tidak terlibat dengan masalah politik yang melanda Argentina.

Tetapi tindakan tersebut adalah kerana nyawa dirinya beserta keluarga telah menjadi taruhan!

Embed from Getty Images

Perkara sebenarnya ialah Cruyff dan keluarganya telah menjadi sasaran penculikan beberapa bulan sebelum sepak mula Piala Dunia 1978.

Cruyff mendedahkan tujuh penjenayah telah memecah masuk ke kediaman mereka di Barcelona pada masa itu.

Penjenayah tersebut mengacukan senapang ke arah mereka sebelum setiap anggota keluarga Cruyff diikat.

Pada masa itu, Cruyff mendiami kediaman tersebut bersama isteri, Danny Coster dan tiga lagi anaknya.

Cruyff berkata, perkara tersebut telah mengubah bagaimana beliau menilai kehidupan, dan merupakan sebab mengapa beliau tidak ke Piala Dunia 1978.

Embed from Getty Images

“Anda harus tahu bahawa saya sebenarnya mempunyai masalah menuju ke penghujung karier bersama Barcelona.

Anda mungkin tidak pernah menyedari bahawa ada individu telah mengacukan senapang terus ke arah kepala saya, mengikat saya dan isteri di hadapan ketiga-tiga anak kami di kediaman di Barcelona,” jelas beliau.

Cruyff bernasib baik kerana berjaya menyelamatkan diri sebelum tindakan pantas pihak berkuasa menyelamatkan keadaan. Namun kehidupan Cruyff tidak lagi sama selepas itu.

“Anak-anak terpaksa ke sekolah dengan ditemani polis. Anggota polis juga tidur bersama kami di rumah untuk beberapa bulan demi keselamatan kami.

Embed from Getty Images

“Malah saya hadir ke latihan dan perlawanan dengan diiringi oleh polis selepas kejadian tersebut,” jelas Cruyff.

“Kejadian ini mengubah pandangan saya mengenai kehidupan. Ada banyak perkara yang lebih bernilai daripada semua ini.

“Kami [sekeluarga] hanya mahu menghentikan semua ini dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Saat itu saya menyedari bahawa saya perlu meninggalkan bola sepak dan memilih untuk tidak ke Piala Dunia.”

Rumusan

Tidak dapat dipastikan apakah niat di sebalalik cuban menculik Johan Cruyff dan keluarganya sebelum Piala Dunia 1978.

Adakah ia satu konspirasi dan komplot terancang daripada pihak tertentu?

Atau adakah ia merupakan salah satu cubaan menculik individu terkenal semata-mata untuk mendapatkan wang tebusan?

Ia adalah satu kemungkinan paling hampir mengambil kira kegawatan ekonomi dunia pada ketika itu sehingga membuatkan ramai orang terdesak melakukan sesuatu melankaui batas norma biasa.

Johan Cruyff kemudian berhijrah ke Amerika Syarikat pada tahun berikutnya selepas kejadian tersebut sebelum mengakhiri karier sebagai pemain bola sepak bersama Feyenoord pada 1984.

Kongsi artikel ini