Kisah Kento Momota Menawan Dunia Dan Guru Dari Pantai Sri Tujuh Tumpat

Bagi pemain perseorangan Jepun dan pemain badminton No.2 dunia, Kento Momota, Malaysia sentiasa memiliki  tempat yang istimewa bagi dirinya.

Pingat emas Asian Junior Championship dimenangi oleh Momota pada 2012 adalah ketika menewaskan Soong Joo Ven dariapda Malaysia. Antara final BWF Tour yang menyaksikan kemunculan Momota pula adalah Terbuka Malaysia pada 2018.

Pada Januari 2020, Momota mengalami kemalangan di Malaysia. Bergelar pemain No.1 dunia pada ketika itu, kemalangan yang membunuh pemandu van yang membawa Momota dan beberapa individu lain selepas itu menjadi titik tolak kejatuhan pemain itu selepas kejadian tersebut.

Sepanjang dua tahun berikutnya, hanya satu kejuaraan dunia mampu dibanggakan Momota apabila bergelar juara Indonesia Masters.

Dan kini kembali ke Malaysia untuk kejohanan Terbuka Malaysia, aksi Momota sehingga berjaya melangkah ke perlawanan akhir menentang Viktor Axelsen pada petang ini, mengingatkan kita kembali kemampuan sebenar dan potensi pemain itu suatu ketika dahulu.

Momota dianggap sebagai salah seorang pemain terbaik yang pernah dihasilkan di dalam sejarah badminton Jepun. Dan Momota mempunyai 1001 sebab untuk berterima kasih kepada Malaysia.

Ini kerana segalanya bermula oleh jasa jurulatih terawal Momota ketika baru menceburkan diri ke dalam dunia badminton pada usia muda, Cikgu Izuan.

Dari Pantai Sri Tujuh sehingga ke Kepulauan Shikoku

Pantai Sri Tujuh terletak di Tumpat, Kelantan. Ia dinamakan Pantai Sri Tujuh kerana terdapat 7 buah teluk atau lebih. Ia merupakan kawasan rekreasi yang menarik di Daerah Tumpat.

Tanyakan sahaja kepada mana-mana anak perantau kelahiran Kelantan, juadah ‘Nasi Air Dingin’ yang diterbangkan setiap hari ke Kuala Lumpur dari Tumpat adalah sajian penuh nikmat tidak terkata.

Itulah istimewanya Tumpat. Dan siapa sangka antara jurulatih yang berperanan besar membangunkan bakat Momota berasal dari daerah Tumpat. Jurulatih yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan adalah Izuan Ibrahim.

Sebelum serius berkecimpung di dalam bidang kejurulatihan badminton, tidak ramai yang mengetahui bahawa Izuan dahulunya pernah bergelar seorang guru.

Mendapat pendidikan di Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK), Izuan dikatakan pernah mengajar di SK Seksyen 1 Bandar Kinrara, sebelum bertukar kerjaya menjadi jurulatih badminton.

Malah di peringkat awal pembabitan di dalam bidang kejurulatihan, anak jati kelahiran Tumpat ini pernah bersama Nusa Mahsuri.

Izuan kemudiannya melebarkan karier kejurulatihannya ke Jepun, untuk bersama Persatuan Badminton Ehime.

Permata Ehime

Ehime adalah sebuah wilayah yang terletak di kepulauan Shikoku. Di peringkat kelab pembangunan, tidak kurang 30 kelab badminton ditubuhkan di wilayah ini sahaja.

Begitulah betapa seriusnya Jepun mengembangkan bakat badminton mereka. Di sinilah juga Izuan bertemu dengan Momota sehingga menjadi jurulatih pengiring Momota di Kejohanan Remaja Dunia di Taipei pada 2011.

Momota mungkin tidak bergelar juara dunia di kejohanan remaja tersebut selepas ditewaskan oleh wakil negara, Zulfadli Zulkifli yang kemudiannya muncul sebagai juara remaja dunia.

Tetapi sekurang-kurangnya kejohanan remaja tersebut membuka lebih banyak pintu dan ruang untuk Momota terus menampilkan aksinya. Pada penghujung 2011, Momota membuktikan dirinya antara pemain terbaik di Jepun apabila menewaskan rata-rata pemain senior skuad Jepun di Kejohanan Badminton Seluruh Jepun, sebelum tewas kepada Kenichi Tago di perlawanan akhir.

Pada tahun berikutnya pula, Momota menebus kehampaan pada 2011, apabila muncul Kejohanan Remaja Asia, dan Kejohanan Remaja Dunia pada tahun yang sama.

Kita semua tahu apa yang berlaku seterusnya. Jepun turut tampil sebagai juara Piala Thomas pada 2014, menewaskan Malaysia di perlawanan akhir. Kento Momota adalah sebahagian daripada wira Jepun pada ketika itu.

Bagi Presiden Badminton Ehime, kebangkitan Kento Momota dan pembangunan badminton di wilayah tersebut adalah hasil jasa Izuan.

“Kami di Jepun membangunkan pemain dari usia muda dan menjadikan mereka pemain yang lebih bagus,” kata Satoshi Matsunoki yang merupakan Presiden Persatuan Badminton Ehime.

“Cabaran terbesar ialah untuk mengekalkan tahap kompetensi jurulatih. Ia sukar untuk memastikan pencapaian pelatih [usia muda] kekal dan meningkat ke tahap seterusnya.

“Beliau [Izuan] adalah jurulatih yang benar-benar memulakan pembangunan di sini dari mulanya. Begitulah kami mengingati beliau,” tambah Matsunoki lagi ketika bercakap kepada portal The Malaysian Reserves pada November lalu.

Sepanjang berkhidmat di negara matahari terbit itu, Izuan bertanggungjawab membantu melatih pemain bawah 19, 16 dan 13 tahun di bawah naungan Persatuan Badminton Ehime, sebelum turut diberikan peranan sebagai jurulatih skuad remaja Jepun.

Tidak boleh dinafikan, Kento Momota adalah pemain terbaik yang pernah dibangunkan oleh Izuan.

Jasa Izuan dikenang Momota

Tarikh 23 Disember 2019, dunia badminton dikejutkan dengan pemergian Izuan Ibrahim yang meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.30 malam, selepas dimasukkan ke hospital tersebut sejak beberapa hari akibat pendarahan di otak.

Momota adalah antara yang terawal menaikkan ciapan mengenai perkhabaran tersebut dan menekankan peranan Izuan Ibrahim terhadap karier yang dimilikinya pada hari ini.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Siti Marsyhtah Muhammad dan tiga orang anak.

Izuan Ibrahim, akan dikenang selama-lamanya sebagai wira yang tidak didendang sukan badminton dunia.

Kongsi artikel ini