Sir Alex Ferguson disifatkan sebagai antara pengurus dan jurulatih terbaik dunia bola sepak pernah saksikan.
Kisah permulaan Sir Alex di Old Trafford sering kali menjadi titipan penyokong setia Manchester United setiap kali bekas pengurus bergelar legenda ini dikenang.
Tetapi siapakah Sir Alex sebelum kejayaan beliau bersama Manchester United?
Dari East Sterlingshire ke Aberdeen
Karier sebagai pengurus Alex Ferguson bermula pada tahun 1974 bersama sebuah kelab dikenali sebagai East Sterlingshire FC.
Perjalanan dan pengalaman Alex Ferguson sebagai seorang pengurus dan jurulatih dipenuhi warna suka dan duka, sehinggalah beliau bersara pada Mei 2013.
Daripada menguruskan pemain dengan pendapatan ₤6 seminggu di East Sterlingshire sehinggalah kepada penjualan Cristiano Ronaldo kepada Real Madrid dengan nilai ₤80 juta.
Secara matematiknya, boleh dirangkumkan kerjaya hebat Sir Alex Ferguson adalah daripada mengurus seorang pemain dengan pendapatan ₤6 seminggu kepada pemain bergaji ₤6 juta setahun!
Tidak ramai yang mengetahui apakah yang membuatkan Manchester United tertarik untuk menyunting pengurus berbangsa Scotland ini pada tanggal 6 November 1986.
Setelah hanya bersama pasukan Scottish Second Division East Stirlingshire selama beberapa bulan pada 1974, beliau dilamar oleh St. Mirren.
Empat tahun bersama St.Mirren, beliau berjaya mengemudi kelab tersebut untuk menjulang kejuaraan Scottish First Division pada musim 1976/77. Alex Ferguson kemudiannya berhijrah ke Aberdeen pada musim 1978/79.
Memecah dominasi Old Firm
Saingan bersama Aberdeen di Scottish Premier Division nyata berbeza seperti ketika beliau di St.Mirren atau saingan divisyen kedua bersama East Sterlingshire.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1903, Aberdeen tidak pernah jatuh ke divisyen bawahan dalam hierarki bola sepak Scotland. Harapan peminat Aberdeen yang sering memenuhi stadium bernama Pittodrie pada ketika itu tinggi menjulang.
Alex Ferguson walaupun bergelar seorang pengurus muda pada ketika itu nyata tidak menghampakan.
Lupakan dominasi kelab Old Firm sebagai saingan tersengit dan gemilang bola sepak Scotland pada era tersebut.
Alex Ferguson telah merevolusikan bola sepak Scotland sehingga munculnya kelompok yang diberi nama sebagai New Firm.
Bola sepak Scotland pada 1980-an diwarnai oleh perseteruan hebat antara Dundee United dan kelab di bawah bimbingan Ferguson – Aberdeen.
Dalam tempoh itu, Aberdeen menjulang kejuaraan Scottish Premier Divison sebanyak 3 kali, Scottish Cup 4 kali, 1 gelaran Scottish League Cup.
Aberdeen di bawah pimpinan Ferguson juga mendominasi Eropah dengan memperoleh gelaran European Cup Winners’ Cup pada musim 1982/83 dan European Super Cup pada 1983/84.
Musim 1982-83 disifatkan sebagai musim terbaik dalam sejarah kelab dengan jolokan nama The Dons.
Nama-nama seperti Mark McGhee, Gordon Strachan, Alex McLeish, Eric Black bersama-sama pemain muda meningkat naik ketika itu John Hewitt dan Andy Watson adalah sandaran pengurus Alex Ferguson pada era New Firm mendominasi bola sepak Scotland.
Aberdeen gegar Eropah
Pada musim 1982/83, Aberdeen bersaing sengit untuk kejuaraan liga.
Bagaimanapun skuad kendalian Ferguson pada krtika itu terpaksa berpuas hatimengakhiri musim di tangga ketiga dengan perbezaan satu mata di belakang juara Dundee United.
Aberdeen turut hanya dibezakan hanya oleh jaringan gol dengan pasukan Celtic yang menduduki tangga kedua liga.
Di saingan peringkat Eropah pula, skuad bimbingan Ferguson dipertemukan dengan Bayern Munich di peringkat suku akhir.
Bayern Munich yang dibarisi pemain bintang seperti Uli Hoeness dan Karl-Heinz Rummenigge telah menewaskan Totenham Hotspur di pusingan kedua European Cup Winners’ Cup.
Seri 0-0 dalam perlawanan pertama di Munich, Aberdeen wajib mencatat kemenangan di Pottodrie untuk mara ke pusingan seterusnya.
Perlawanan timbal balik cukup mendebarkan itu dimenangi oleh Aberdeen dengan jaringan 3-2 setelah dua kali ketinggalan. Peminat Aberdeen pasti tidak dapat melupakan jaringan Alex McLeish hasil taktikal set piece Alex Ferguson di padang latihan.
Gol kemenangan Aberdeen dijaringkan oleh John Hewitt untuk Aberdeen mara ke peringkat separuh akhir.
Di peringkat separuh akhir, Aberdeen mudah menyingkirkan wakil dari Belgium, Waterschei Thor dengan agregat 5-2.
Halangan terakhir lagi sukar menanti buat Aberdeen di perlawanan akhir. Aksi aksi di Gothenburg, Sweden menemukan skuad Aberdeen dengan gergasi Sepanyol – Real Madrid.
Perlawanan berlangsung dengan sengit dan setelah tamat 90 minit perlawanan masa sebenar, kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 1-1.
Aberdeen akhirnya mencatat sejarah tersendiri apabila jaringan emas di masa tambahan John Hewitt menafikan Los Blancos dan menjulang skuad Sir Alex sebagai juara European Cup Winners’ Cup buat pertama kali dalam sejarah kelab.
Kurang dua minggu selepas kejayaan di Eropah, Alex Ferguson membawa Aberdeen menjulang Scottish Cup menewaskan Rangers 1-0 juga melalui masa tambahan.
Selepas musim 1982/83, Ferguson terus memimpin Aberdeen memenangi lapan lagi trofi utama yang dipertandingkan.
A younger, Alex Ferguson prepares a toast after winning the European Cup Winners Cup in 1983 with Aberdeen. Photo: The Daily Record pic.twitter.com/tIag4ZOv7Q
— The Antique Football (@AntiqueFootball) January 7, 2017
Tidak mudah untuk Aberdeen membenarkan Alex Ferguson ke Manchester United pada mulanya.
Tetapi pemergian Ferguson turut meninggalkan legasi yang hebat di Aberdeen.
Dan pada 6 November 1986, Manchester United secara rasminya mengumumkan ketibaan Alex Ferguson sebagai pengurus baru mereka.
Bak kata frasa Bahasa Inggeris, “The Rest Is History”.