King’s Cup: Kim Pan-gon Dedah Faktor Utama Bantu Malaysia Atasi Thailand

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon mendedahkan faktor yang membantu pasukan Malaysia mengatasi Thailand melalui penentuan sepakan penalti di separuh akhir King’s Cup pada malam tadi.

Selain daripada menentang juara bertahan Piala AFF 2020 yang memiliki barisan pemain ternama seperti Chanatip Songkrasin, Supachok Sarachat dan Suphanat Muenta, barisan pemain negara turut perlu menyesuaikan diri dengan atmosfera perlawanan yang dihadiri 16,219 penyokong pasukan tuan rumah.

Rekod pasukan negara beraksi di Thailand bukan sesuatu yang boleh kita banggakan. Walaupun merekodkan kemenangan melalui penentuan sepakan penalti pada malam tadi, pasukan negara sebelum ini sekadar mampu menghasikan 1 kemenangan dan 3 keputusan seri daripada 10 perlawanan yang diadakan di negara itu di dalam semua pertandingan sejak 2004.

Faktor kejayaan Malaysia

Selepas mendahului perlawanan melalui jaringan Corbin Ong pada minit ke-32 perlawanan, Malaysia bagaimanapun dikecewakan oleh jaringan penyamaan Pansa Hemviboon kira-kira 30 saat sebelum masa perlawanan sebenar ditamatkan.

Di dalam situasi tersebut, tekanan sudah pasti bertukar kepada pasukan negara tatkala momentum dan keyakinan mulai beralih kepada pasukan Thailand.

Namun sebaliknya berlaku. Kesemua lima pengambil sepakan pasukan negara didahului oleh Dion Cools, diikuti oleh , Syafiq Ahmad, Matthew Davies, Declan Lambert, dan Corbin Ong, semuanya berjaya menyempurnakan sepakan masing-masing dan membawa Harimau Malaya ke final.

Bagaimanakah Malaysia begitu yakin melepasi halangan yang cukup getir berhadapan pasukan yang berada di ranking ke-111 dunia di dalam senarai FIFA, dan didukung oleh 16,219 penyokong pasukan tuan rumah?

“Memang betul (menyakitkan dibolosi saat akhir) tetapi perkara itu sudah terjadi. Sepanjang karier saya sebagai jurulatih, saya sudah banyak kali berdepan situasi sama seperti ini,” kata Kim Pan-gon ketika mengulas perlawanan tersebut.

“Apa yang saya mahu adalah pemain tetap menunjukkan komitmen dan kesungguhan serta keyakinan di atas padang. Saya percaya pemain saya kuat untuk menghadapi cabaran ini dan mereka menunjukkan persembahan yang hebat.

“Mentaliti yang kuat diperagakan walaupun beraksi di tempat lawan dan akhirnya, kami mendapat keputusan yang positif hasil sumbangan daripada pemain. Terima kasih untuk mereka,” katanya.

Hasil kerja Kim Pan-gon

Sebenarnya ia bukan perkara yang menghairankan bagaimana pemain-pemain negara kini memiliki keyakinan tinggi walaupun berhadapan dengan tekanan.

Salah satu aspek yang dibawa oleh Kim Pan-gon sejak dilantik sebagai pengendali pasukan negara pada Februari lalu adalah untuk membentuk karakter dan mentaliti keyakinan yang dimiliki pemain.

Mengimbau kembali apa yang diperkatakan oleh jurulatih dari Korea Selatan itu pada Mac lalu, antara perkara pertama yang perlu dilakukannya ketika bergelar Ketua Jurulatih pasukan negara adalah supaya anak buahnya menanamkan sikap sentiasa mahu akan kemenangan atau winning mentality jika mahu meraih kejayaan bersama kelab serta mahu mereka fokus sepenuhnya.

“Kita mahu wujudkan pasukan yang dahagakan kemenangan dalam setiap perlawanan dan ia perlukan masa.

“Selepas kem ini sehingga Jun, kami mempunyai banyak peluang untuk melihat perlawanan liga setiap minggu, jadi kami mungkin mendapatkan maklumat yang lebih banyak mengenai pemain dari semasa ke semasa,” katanya menerusi Harian Metro. pada Mac lalu.

Perubahan yang dibawa oleh Kim Pan-gon di dalam pasukan turut diakui oleh Dominic Tan ketika pusingan kelayakan Piala Asia pada Jun lalu.

Pertahanan Harimau Malaya, Dominic Tan merasakan perubahan yang dibawa oleh Kim Pan-gon mengenai mentaliti pemain memang luar biasa.

“Sejujurnya saya rasa dia (Kim Pan-gon) percaya pada kami. Semua orang mengatakan perkara yang baik atau buruk tentang Harimau Malaya.

“Adalah bagus untuk mempunyai pemahaman seperti itu. Ia membuatkan semua orang berasa mereka adalah sebahagian daripada pasukan.

Jelas Dominic, Pan-gon sangat memahami setiap pemain menjadikan hubungan jurulatih bersama pemain sangat akrab.

“Kami mempunyai hubungan yang baik antara satu sama lain, dan kami bekerja keras untuk mendapatkan hasilnya,” kata Dominic dipetik daripda New Straits Times.

Pemain berusia 25 tahun itu turut menganggap Harimau Malaya mempunyai skuad yang ampuh dari segi pemain utama mahupun pemain simpanan.

Kongsi artikel ini