Baru pertama kali dipanggil menyertai kem latihan pusat pasukan negara, Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon sudah dapat melihat kualiti dan potensi yang dimiliki pemain kacukan Finland-Malaysia, Nooa Laine.
Pemain tengah berusia 20 tahun itu dianggap sebagai pemain yang memiliki pengalaman tersendiri kerana beraksi bersama SJK Seinajoki di Divisyen 1 Liga Finland.
Malah perkembangan pemain itu bersama SJK sejak beberapa musim lalu dianggap begitu memberangsangkan sehingga menjadikan beliau sebagai antara tonggak utama pasukan pada musim ini.
Selama ini Kim Pan-gon mengakui sentiasa memantau perkembangan pemain itu melalui rakaman video. Jendela perlawanan antarabangsa FIFA pada Mac ini pula digunakan oleh pengendali dari Korea Selatan itu untuk melihat dengan mata sendiri kebolehan pemain muda ini.
Finnish-Malaysian midfielder Nooa Laine training with the national team. pic.twitter.com/TD3QRKxp9k
— Harimau Abroad🐯🇲🇾✈️ (@harimau_abroad) March 19, 2023
“Dia pemain muda tapi berpengalaman apabila beraksi di divisyen pertama di Finland.
“Malah saya lihat pemain ini berpotensi terutama bermain di posisi tengah bertahan dan [memiliki] kekuatan tersendiri apabila kerap beri tekanan terhadap pemain lawan, dan kualiti itu yang saya inginkan,” jelas Kim Pan-gon kepada media apabila ditanya mengenai keputusan beliau memanggil Noaa Laine kali ini.
Nooa Laine adalah antara tujuh muka baharu yang dipanggil oleh Kim Pan-gon untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan menentang Turkmenistan dan pada Khamis ini, sebelum melayan Hong Kong pada 28 Mac.
Selain daripada Noaa, pemain-pemai lain adalah Paulo Josue dan Endrick dos Santos yang baru mendapat taraf naturalisasi masing-masing. Empat pemain lain adalah Feroz Baharudin, Fayadh Zulkifli, Damien Lee dan penjaga gol muda Negeri Sembilan, Sikh Izhan.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada Noaa akan diturunkan dalam dua perlawanan tersebut kerana sebelum ini turut ada laporan mengatakan keberadaan pemain itu di negara ini juga adalah untuk menyelesaikan proses akhir pemindahan kewarganegaraan.