Kim Pan-gon Keluar Kenyataan Rayu TMJ Kekal Terajui JDT

Berita pengunduran Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) daripada menerajui JDT mendapat pelbagai reaksi daripada pemerhati bola sepak tempatan.

Bagi jurulatih pasukan negara, Kim Pan-gon ia adalah berita yang mengejutkan. Dan pada masa yang sama pengendali dari Korea Selatan itu berpendapat TMJ seharusnya mempertimbangkan keputusannya itu.

Melalui kenyataan melalui FAM pada pagi ini, Pan-gon berkata:

“Saya harap Tunku Ismail mempertimbangkan semula keputusannya. Bagi saya, ini adalah satu kerugian amat besar kepada bola sepak Malaysia jika Tunku Ismail memutuskan untuk keluar daripada dunia bola sepak.

“Dalam masa kurang sedekad, Tunku Ismail berjaya membawa JDT ke tahap lebih tinggi selari dengan semangat cintakan bola sepaknya yang mendalam. Lantaran itu, bola sepak Malaysia sememangnya perlukan TMJ,” kata Pan Gon.

Pengaruh besar TMJ

TMJ dianggap sebagai salah seorang individu yang mempunyai pengaruh besar di dalam bola sepak Malaysia.

Di JDT TMJ menetapkan sasaran dan memungkinkan sebuah kelab dari negara ini mampu untuk bersaing secara kompetitif di pertandingan elit Asia seperti AFC Champions League.

Deretan pengiktirafan diterima JDT daripada seluruh dunia secara tidak langsung turut menaikkan martabat bola sepak negara.

Tidak keterlaluan jika kita katakan TMJ menjadikan JDT sebagai ‘trend setter’ kepada bola sepak yang benar-benar profesional di negara ini.

“Terima kasih kepada sumbangan Tunku Ismail ini yang mana JDT telah mendapat pengiktirafan di seluruh Asia sekaligus membantu meningkatkan taraf bola sepak kelab di Malaysia.

“Mentaliti kemenangan diterapkan Tunku Ismail adalah penting untuk melaksanakan perubahan dalam bola sepak tempatan.

Sumbangan besar TMJ

Tambah Pan Gon, dengan prestasi disumbang JDT ini, ia membantu meningkatkan lagi profil bola sepak Malaysia terutama di sudut pembangunan dan penjenamaan bola sepaknya yang mampu dijadikan contoh kepada kelab bola sepak negeri.

“Di bawah kendaliannya, JDT telah menyalurkan lebih 15 pemain kepada pasukan kebangsaan malah lebih ramai pemain baru yang lebih baik sedang dalam persiapan.

“Tunku Ismail sentiasa menyokong pasukan kebangsaan sejak awal lagi dan kami amat menghargai jasanya.

“Malah sebelum kedatangan saya, saya juga sudah mengetahui akan kemudahan dan infrastruktur latihan JDT adalah bertaraf Eropah.

“Kami menghargai tawaran Tunku Ismail untuk Harimau Malaya berlatih di Johor. Dengan infrastruktur yang ada, mereka yang berlatih di sana boleh mendapat manfaat daripada kemudahan terkini.

“Pada sudut pandangan peribadi saya, ia dilihat sebagai satu lagi sumbangan JDT kepada bola sepak Malaysia,” katanya.

Kongsi artikel ini