Khidmat Hamidin Ditagih FIFA

Kecemerlangan Datuk Hamidin Mohd Amin menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerajui badan induk bola sepak negara itu sejak Julai 2018 tidak terlepas daripada pandangan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Baru-baru ini Hamidin menjadi salah seorang wakil negara anggota yang dicalonkan sebagai Ahli Jawatankuasa badan bola sepoak dunia itu bagi pemilihan ahli jawatankuasa eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) penggal 2023-2027.

Bagi Hamidin, pencalonan itu merupakan satu pengiktirafan kepada bola sepak negara, dan beliau sedia memacu badan induk bola sepak tempatan itu di mata dunia sekiranya terpilih.

“Meskipun ia baru di peringkat pencalonan, namun saya tetap menganggap ia sebagai satu penghormatan dalam membawa nama Malaysia khususnya bola sepak di mata dunia,” kata beliau seperti dipetik daripada Harian Metro.

Ia juga adalah sokongan daripada negara Asia lain, yang menaruh kepercayaan kepada saya.

“Dalam pada itu, ia selari dengan matlamat saya dalam menjadikan bola sepak Malaysia sebagai satu komponen amat penting di peringkat antarabangsa.

“Paling yang menjadi keutamaan dan tumpuan buat saya ialah untuk menaikkan lagi bola sepak Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi terutamanya di mata dunia.”

Datuk Hamidin Mohd Amin dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke-tujuh sejak 2018 menggantikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Dianggap sebagai seorang individu yang berpengalaman luas dengan senario bola sepak tanah air, Hamidin turut pernah memainkan peranan sebagai Setiausaha Agung FAM dari 2013 sehingga 2018.

Sepanjang tempoh lima tahun sebagai Setiausaha Agung FAM. Hamidin pernah berkhidmat dengan tiga Presiden FAM iaitu KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah (2013-2014), KDYTM Tengku Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah (2014-2017) dan DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (2017-2018).

Di peringkat antarabangsa pula,beliau turut pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dari 2010 hingga 2014 sebelum dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pembangunan AFC dari 2015 hingga 2018 selain turut merupakan Ahli Majlis AFF dan berada dalam Ahli Jawatankuasa Pertandingan AFF dari tahun 2013 hingga 2018.

Kongsi artikel ini