Khidmat Goulon Disambung, NSFC Sahkan Hanya Akan Gunakan 3 Pemain Import Untuk Liga Malaysia 2023

Negeri Sembilan FC (NSFC) melalui satu kenyataan baru-baru ini mengesahkan hanya akan menggunakan khidmat tiga pemain import untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2023.

Sehubungan dengan itu, NSFC berkata khidmat pemain import musim lalu, Mark Herold Goulon akan disambung semula.

Bekas pemain pertahanan Blackburn Rovers dan Sri Pahang FC itu adalah antara tonggak utama skuad Hoben Jang Hoben pada musim lalu.

Goulon yang merupakan pemain pertahanan tengah dan mempunyai keupayaan untuk beraksi di posisi tengah menjaringkan 6 gol untuk NSFC pada musim lalu.

“Pihak kelab sedar akan pentingnya pemain import dalam sesebuah pasukan.

“Justeru itu, satu keputusan telah dibuat dan pihak kelab bersetuju untuk mengambil 3 pemain import dalam menghadapi saingan liga yang akan berlangsung pada 26 Februari 2023.

“Pemain-pemain tersebut ialah Mark Herold Goulon, yang merupakan tonggak pertahanan Negeri Sembilan FC pada musim lepas.

“Beliau yang berasal dari Perancis telah menjaringkan 6 gol dalam saingan liga musim lepas,” ujar kenyataan tersebut.

Selain daripada Goulon, NSFC turut mengesahkan telah menambat penyerang skuad kebangsaan Republik Chad, Ezechiel Ndouase.

Ndouase sebelum ini pernah menyarung jersi beberapa kelab di Liga 1 Indonesia seperti Bhayangkara FC dan Persib Bandung.

Penyerang berusia 34 tahun itu adalah penjaring terbanyak Persib pada musim 2018 apabila meledak 17 gol, dan menghasilkan 48 gol keseluruhan di Liga 1 Indonesia selama 4 musim.

Bekas penyerang Persib Bandung dan Bhayangkara FC, Ezechiel Ndouase.

Memiliki 47 penampilan antarabangsa bersama Republik Chad, Ndouase turut meledak 14 gol untuk pasukan negaranya setakat ini.

Dalam kenyataan yang sama, NSFC turut mengesahkan sedang memburu seorang lagi pemain import untuk menguatkan skuad kendalian K. Devan.

“Pemain import ketiga masih dalam perbincangan untuk menyertai pasukan. Beliau akan beraksi di posisi tengah.

“Ini merupakan salah satu langkah yang diambil dalam menstrukturkan semula pasukan selain menambah kekuatan pasukan di tiga posisi utama yang amat diperlukan oleh Ketua Jurulatih, K.Devan,” tambah kenyataan tersebut.

Musim lalu NSFC mengejutkan ramai pemerhati bola sepak tempatan apabila menamatkan saingan di kelompok teratas Liga Super – walaupun baru kembali ke saingan Liga Super selepas muncul juara Liga Premier pada musim sebelumnya.

Malah NSFC turut bersaing hebat dengan Terengganu FC dan Sabah FC untuk merebut slot ke Piala AFC pada penghujung musim lalu

Kongsi artikel ini