Khabib Label Gaethje Bijak, ‘No Comment’ Pasal Ferguson

Ia sepatutnya Khabib Nurmagomedov yang tampil selaku lawan Tony Ferguson di UFC 249 yang pada awalnya dirancang berlangsung pada 18 April lalu.

Namun disebabkan penularan wabak global yang membawa maut kepada seluruh dunia, pertarungan tersebut terpaksa dilupakan.

Untuk rekod, UFC 249 adalah kali kelima pertarungan kedua-dua jaguh UFC itu dibatalkan atas pelbagai sebab.

Walaupun telah ditangguhkan, penganjur Dana White akhirnya berjaya meneruskan UFC 249 pada hari ini.

Sudah tentu lawan Ferguson juga bukannya Khabib, yang kini terperangkap di Rusia. Menuju pertarungan UFC 249 pada hari ini, Dana White sempat memilih Justin Gaethje sebagai pengganti.

Hanya selepas pusingan pertama pertarungan, jelas sekali kedua-dua mereka mempunyai sasaran untuk menumbangkan satu sama lain.

Tumbukan-tumbukan padu dilemparkan, begitu juga sepakan. Namun ianya jelas Gaethje memiliki kelebihan awal.

Pusingan kedua tidak jauh beza. Gaethje berjaya melepaskan beberapa tumbukan tepat ke sasaran, namun tidak memberikan impak kepada Ferguson.

Hanya pada babak akhir pusingan menyaksikan Ferguson mampu menghasilkan satu uppercut yang memberi kesan kepada lawannya itu.

Namun demikian, Gaethje bijak mempergunakan kelebihan yang dimilikinya, sehingga akhirnya digelar pemenang dalam perlawanan ini.

Kemenangan di UFC 249 bermakna Gaethje merekodkan 22 kemenangan dan tewas 2 kali.

Ferguson pula merekodkan 24 kemenangan dan tewas 4.

Tidak dipastikan apakah yang akan berlaku seterusnya. Tewas kepada Gaethje mungkin bermakna harapan Ferguson berhadapan dengan Khabib atau pun McGregor tidak akan berlaku pada masa terdekat.

Respon Khabib terhadap kekalahan Ferguson juga menjadi tanda tanya. Semua orang tahu betapa panasnya perseteruan kedua-duanya menuju UFC 249.

“Tiada komen,” ujar Khabib melalui ciapan di Twitter usai kemenangan Gaethje.

Khabib turut mengucapkan tahniah kepada Gaethje dan melabel petarung itu berlawan dengan bijak untuk menewaskan Ferguson.

Apa yang dilakukan oleh Khabib mungkin adalah sindiran penuh sarkastik kepada Ferguson yang pernah melabel beliau pengecut kerana gagal tampil untuk UFC 249.

Conor McGregor juga tidak memberikan sebarang komen dan mungkin hanya mahu memberikan fokus kepada cabaran yang dilemparkan oleh Oscar de la Hoya.

 

Kongsi artikel ini