KFC Buat U-Turn, Tak Jadi Saman Dan Minta Maaf Kepada Perancis Isu Mbappe

Syarikat makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC) hari ini mengeluarkan satu kenyataan maaf kerana mengugut untuk memfailkan saman dan menarik balik tajaan kepada skuad kebangsaan Perancis selepas protes yang dilakukan oleh pemain bintang pasukan itu, Kylian Mbappe.

Dalam kenyataan tersebut KFC Perancis berkata:

“KFC Perancis kesal dengan kata-kata yang dikeluarkan semalam (oleh Naib Presiden Syarikat). Ia adalah pendapat peribadi dan tidak mewakili pandangan syarikat ini secara keseluruhan.

“Kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Perancis (FFF) sentiasa menjadi satu kebanggaan buat kami,” kata KFC melalui satu kenyataan yang dikongsi oleh Reuters.

Sehari sebelum itu Naib Presiden KFC Perancis, Alain Beral berkata syarikat itu akan bertindak menghentikan kerjasama dengan skuad kebangsaan Perancis kerana keengganan Mbappe untuk menyertai sesi penggambaran untuk tujuan promosi.

Pada hari Isnin dilaporkan bahawa pemain berusia 23 tahun itu enggan mengambil bahagian dalam sesi penggambaran bersama rakan sepasukannya di Perancis, kerana pertelingkahan berkaitan dengan penaja pasukan itu.

Laporan itu mengatakan bahawa isu utama Mbappe adalah berkaitan hak imej, berapa banyak dia digunakan dan syarikat yang ditaja oleh pasukan itu, bukannya ada apa-apa kaitan dengan wang.

Mbappe dikatakan menolak untuk bergambar kerana ada promosi penaja dari syarikat judi dan makanan segera iaitu KFC.

Selaku naib presiden KFC Perancis, Alain Beral telah mendakwa bahawa mereka akan mempertimbangkan tindakan saman terhadap bekas bintang Monaco itu.

 

Kongsi artikel ini