Ketua Jurulatih Pau FC Nafi Quang Hai Seperti Messi Selepas Saksikan Sendiri Aksi Latihan Pemain Itu

Ketua jurulatih Pau FC, Didier Tholot menafikan corak permainan Nguyen Quang Hai mirip seperti bintang bola sepak Paris Saint-Germain (PSG), Lionel Messi selepas menyaksikan sendiri pemain itu di dalam sesi latihan.

Sebaluiknya Tholot menyamakan kebolehan pemain sensasi Vietnam itu dengan bekas pemain antarabangsa Perancis, Mathieu Valbuena.

“Saya tahu Quang Hai adalah seorang pemain bintang di Vietnam. Saya diberitahu mengenai perkara itu sebaik beliau tiba di sini. Saya juga mahu mengucapkan ‘hello’ kepada penyokong bola sepak Vietnam,” kata Tholot.

“Ramai menyamakan Quang Hai adalah ‘Messi Vietnam’, tetapi saya tidak fikir begitu. Quang Hai tidak sama dengan Messi.

“Saya melihat beliau lebih seperti Mathieu Valbuena. Corak permainan mereka mempunya persamaan. Kedua-duanya bergerak pantas dengan bola, memiliki kreativiti dan gaya permainan yang menarik.”

Valbuena adlaah bekas pemain tengah antarabangsa Perancis dan pernah beraksi bersama Marseille, Lyon dan Fenerbahce.

Bekas pemain itu juga memiliki fizikal yang mirip dengan Quang Hai – memiliki ketinggian hanya 1.67 meter.

Walaupun memiliki susuk tubuh badan yang dianggap kecil untuk bola sepak eropah, Valbuena memiliki kepantasan, keseimbangan luar biasa dan kebolehan menggelecek seperti Quang Hai.

Quang Hai perlu sesuaikan diri

Mengenai peluang pemain itu untuk beraksi di dalam saingan Ligue 2 bersama Pau FC, Tholot enggan terburu-buru, tetapi menekankan agar Quang Hai perlu terlebih dahulu menyesuaikan diri dengan persekitaran baharunya itu.

Bagi Tholot, setiap pemain memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan sistem pasukan baharunya, dan memberi jaminan kepada Quang Hai bahawa pemain itu akan dinilai sewajarnya bergantung kepada kebolehan dan kemampuan di tampilkan ketika latihan.

“Saya memerlukan pemain yang boleh mengambil peluang dan Quang Hai adalah antara pemain terbaik dunia untuk berbuat demikian. Saya berpendapat beliau boleh menyumbang kepada pasukan untuk menjadi lebih baik.

“Saya gembira beliau memilih Pau FC. Kami telah menyaksikan permainannya ketika mewakili Vietnam.

“Kini jurulatih akan membantu beliau menyesuaikan diri dengan pasukan dari segi corak permainan dan bahasa.

“Di Pau FC, ia ibarat sebuah keluarga. Kami akan menjaga setiap pemain dan memberikan sokongan yang diperlukan untuk mereka berasa selesa. Selepas ini kami juga mahu membantu Quang Hai bertutur Bahasa Perancis.

Persiapan musim 2022/23

Menurut pengumuman yang dilakukan oleh Pau FC, Quang Hai telah menandatangani kontrak selama 2 tahun bersama kelab Ligue 2 itu.

Pau FC akan memulakan kempen Ligue 2 musim 2022/23 pada 30 Julai hadapan, menentang Guingamp FC.

Sebagai persiapan menghadapi musim baharu, Pau FC akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan menentang Toulouse (12 Julai), Angouleme (15 Julai) dan Niort (23 Julai).

Kongsi artikel ini