Expand To Show Full Article
Kesetiaan Odion Ighalo Bersama Man United Diuji - Grandstand Kita

Kesetiaan Odion Ighalo Bersama Man United Diuji

Shanghai Shenhua menguji kesetiaan Odion Ighalo bersama Manchester United apabila bersedia menawarkan kontrak bernilai £400,000 seminggu untuk mengelakkan pemain itu kekal di Old Trafford pada masa hadapan.

Ighalo berjaya mencuri hati penyokong United dengan ketajamannya di hadapan gol setelah tiba di Old Trafford pada jendela perpindahan Januari lalu secara pinjaman.

Shanghai Shenhua kini mahu menaikkan pendapatan pemain itu pada ketika saingan Liga Super China (CSL) dijangka akan bermula pada Mei hadapan.

Tempoh pinjaman penyerang berusia 30 tahun itu dilaporkan akan tamat pada 30 Mei. Namun ia dijangka akan dilanjutkan selepas penangguhan saingan domestik di eropah akibat penularan COVID-19.

Pemain antarabangsa Nigeria itu adalah penyokong setia United sejak zaman kanak-kanak dan sebelum ini mendedahkan sanggup menerima pemotongan gaji sebanyak 40% demi memastikan impian masa kecil beraksi di Old Trafford menjadi kenyataan.

“Apabila bercakap mengenai semua ini [beraksi untuk Man United ketika zaman kanak-kanak] orang akan cakap anda gila. Kerana pada ketika itu siapa yang mengetahui mengenai masa depan,” kata Ighalo dalam temu bual ketika baru tiba di United.

“Mungkin perkara pertama anda akan lakukan ialah untuk beraksi bersama sebuah kelab kecil. Tak payah cakap dulu tentang bermain untuk United.

“Tetapi saya memang sentiasa menyokong United. Saya berusaha untuk menyaksikan setiap perlawanan pada hujung minggu. Saya masih ingat semua memori itu.

“Saya tidak pernah menjangkakan ia akan berakhir begini [menyertai United]. Malah ketika saya beraksi di Premier League bersama Watford, saya tidak menjangkakan perkara ini akan berlaku.”

Sehingga kini Ighalo telah menjaringkan empat gol dari tiga permulaan untuk United.

Adakah Odion Ighalo akan menyertai Manchester United secara kekal pada jendela perpindahan akan datang?

 

Kongsi artikel ini