Ya, musim bola sepak 2019-20 di Eropah belum lagi tamat, bahkan belum disambung sejak digantung kerana wabak Coronavirus yang melanda dunia ketika ini.
Namun, kita harus ingat bahawa musim baharu 2020-21 juga akan bermula beberapa bulan sahaja daripada sekarang. Maka, pelbagai rekaan jersi ‘bocor’ telah dipertunjukkan sejak kebelakangan ini.
Ayuh kita lihat beberapa rekaan yang telah ‘bocor’ ini.
Nota: Kesemua rekaan ini diambil daripada Footy Headlines.
Arsenal
Arsenal terus mengekalkan penggunaan warna tradisi mereka pada jersi utama – merah di tengah dan putih pada lengan.
Cuma untuk edisi kali ini, warna merah yang lebih gelap digunakan, dengan corak istimewa pada bahagian utama jersi.
Warna cloud white digunakan untuk jersi tempat lawan, yang juga mempunyai corak berwarna maroon seakan-akan corak marmar.
Jersi home akan dilancarkan tidak lama lagi, bergantung kepada keadaan semasa dunia, manakala jersi away akan dilancarkan pada Julai menurut Footy Headlines.
Chelsea
Buat masa ini, masih belum diumumkan rekaan buat jersi utama dan jersi tempat lawan pasukan Chelsea untuk musim 2020-21.
Foto di atas menunjukkan rekaan jersi ketiga pasukan Chelsea yang akan menggunakan warna merah dan biru, diinspirasikan daripada jersi musim 1996-97 tajaan Umbro yang menggunakan warna kuning ketika itu.
Juga, tiada lagi ‘Yokohama Tyres’ pada jersi Chelsea bermula musim hadapan dan akan digantikan dengan penaja ‘Three’,
Jersi ini hanya akan dilancarkan pada September.
Liverpool
Mungkin rekaan bocor yang paling popular dalam kalangan pasukan Premier League setakat ini.
Umum mengetahui bahawa Liverpool akan menggunakan jenama Nike untuk musim hadapan.
Jersi home tentunya menggunakan warna merah – hampir sama dengan warna merah yang digunakan Nike untuk pasukan Portugal pada Piala Dunia 2018, manakala jersi away menggunakan warna turqoise berlatarbelakangkan corak abstrak yang diinspirasikan daripada Shankly Gates.
Manchester City
Biru terang, hitam dan putih akan menjadi warna yang akan digunakan Puma untuk jersi-jersi Man City musim depan.
Rekaan mozek pada jersi utama City ialah inspirasi daripada mozek yang digunakan di sekitar bandar Manchester.
Rekaan jersi tempat lawan (hitam) ialah inspirasi daripada rekaan bangunan di kawasan Castlefield, Manchester.
Manchester United
Rekaan jersi utama United ketika ini memperoleh komen yang sangat positif daripada para penyokong mereka.
Jersi utama menampilkan warna merah, yang turut mempunyai warna hitam dan kuning pada corak latar belakangnya, seakan-akan rekaan jersi tempat lawan mereka pada musim 2016-17.
Untuk jersi tempat lawan, adidas menggunakan warna legacy green dengan warna monochrom digunakan pada logo Manchester United.