Kes Pembatalan Liga Di Chile Tahun Lalu Boleh Jadi Rujukan Premier League

Bola sepak kini tergendala di seluruh dunia akibat penularan wabak Coronavirus. Sehingga kini peminat bola sepak belum lagi mengetahui bagaimana liga yang ditangguhkan akan berakhir.

Saingan Liga Perdana Inggeris misalnya akan bermesyuarat pada Khamis selepas mendapat pengesahan langkah seterusnya oleh UEFA.

FIGC dilaporka akan berusaha menamatkan saingan pada musim ini menjelang Julai, manakala Bundesliga turut mempunyai pelan kecemasan tersendiri.

Pembatalan saingan pada musim ini dilihat sebagai antara pilihan yang ada. Di Liga Inggeris ia bukan kali pertama berlaku.

Musim 1939/40 misalnya menyaksikan liga dibatalkan selepas meletusnya Perang Dunia ke-2. Situasi pada hari ini mungkin lebih kompleks.

Jika tetap diteruskan, ia akan memakan masa sebulan atau dua untuk ditamatkan daripada jadual asal.

Isu kontrak pemain akan timbul, manakala meneruskan perlawanan di stadium tertutup akan menjejaskan kewangan kelab.

Tetapi liga-liga utama dunia termasuk Premier League mungkin boleh merujuk ke Chile untuk penyelesaian.

Primera Division Chile ditamatkan lebih awal pada musim lalu ekoran kekacauan dan ketidakstabilan yang berlaku di negara tersebut.

Dua perkara utama yang mereka selesaikan ialah menentukan juara liga, dan menyelesaikan masalah penyingkiran.

Saingan di bawah Primera Divison pula tidak perlu untuk memikirkan hal penyingkiran. Sebaliknya dua pasukan dinaikkan ke Primera Division.

Juara turut dianugerahkan kepada Universidad Catolica yang sudah mendahului dengan 13 mata.

Jadi jika cara ini mahu diamalkan oleh Premier League, maka Liverpool menarik nafas lega kerana akhirnya berjaya menamatkan kemarau kejuaraan selama 30 tahun.

West Brom dan Leeds dari Championship pula dinaikkan ke Premier League, yang juga bermakna 22 pasukan akan bersaing pada musim hadapan.

Kini Premier League hanya perlu memikirkan siapakah yang akan mengisi slot ke Eropah. Play-off mungkin jalan penyelesaian terbaik membabitkan kelab yang secara matematika masih boleh mara.

 

Kongsi artikel ini