“Kerana Pelatih Asal Indonesia” – Media Negara Jiran Tidak Mahu Ketinggalan ‘Claim’ Kejayaan Aaron-Wooi Sik Muncul Juara Dunia

Kejayaan gandingan Aaron Chia/Soh Wooi Sik menewaskan gandingan No.3 dunia dari Indonesia, Hendra Setiawan/Mohammad Ahsan di perlawanan akhir acara beregu lelaki Kejohanan Badminton Dunia BWF pasti menjadi bualan utama peminat sukan dan badminton negara sepanjang minggu ini.

Ia dianggap sebagai satu lagi sejarah di dalam dunia sukan negara pada tahun ini kerana kejuaraan tersebut adalah yang pertama di dalam sejarah penyertaan negara di Kejohanan Badminton Dunia BWF.

Menjadikan kejayaan tersebut lebih bermakna adalah kerana ia turut dicapai pada ambang kemerdekaan negara yang ke-65 yang akan disambut pada 31 Ogos hadapan. Ia pasti dianggap sebagai hadiah yang amat bermakna untuk negara.

Pasangan regu negara itu diangkat selaku juara acara regu lelaki Kejuaraan Badminton Dunia BWF selepas menewaskan Hendra Setiawan/Mohammad Ahsan melalui dua set, dengan kutipan mata 21-19, 21-14.

Media jiran tidak ketinggalan ‘claim’ kejayaan

Tidak ketinggalan mahu berbangga atau tumpang bangga, atau dengan kata lain ‘claim’ kejayaan pasangan regu lelaki negara itu adalah media Indonesia, walaupun pasangan yang ditewaskan di perlawanan akhir berasal dari negara tersebut.

“Sejarah yang diukir tersebut terjadi kerana peranan jurulatih berasal dari Indonesia, Rexy Manaiky,” tulis Detik Sport dalam satu laporan pada malam tadi.

Malah Detik Sport mendakwa sekiranya bukan kerana keberadaan Rexy, gandingan Aaron-Wooi Sik tidak akan mampu bersaing dengan lawan mereka daripada Indonesia kerana membuat banyak kesilapan.

“Dalam pertandingan tersebut, Aaron/Soh yang didampingi Rexy Mainaky di pinggir lapangan pada mulamnya gagal mengawal perlawanan dengan baik.

“Mereka kerap tertinggal [mata], bahkan pada ketika waktu rehat game pertama, mereka ketinggalam 6-11.

“Aaron/Soh kemudian mendapat arahan baharu dari Rexy, namun masih terus tertinggal hingga posisi 12-18 sebelum bangkit dan berjaya memperkecil jarak menjadi [mata] 18-19.”

Laporan tersebut kemudian berkata kejayaan pasangan negara di set pertama adalah kerana kegagalan Hendra untuk lebih bersabar untuk membalas pukulan.

Mereka [Aaron-Wooi Sik] kembali unggul dan menang saat Hendra gagal bermain sabar. Dua bola yang dismash Hendra menyangkut di net dan menjadi tambahan poin buat Aaron/Soh. Mereka pun kemudian menang dengan skor 21-19,” tambah artikel itu.

Aaron-Wooi Sik memang berhak

Bagaimanapun artikel tersebut kemudiannya mengakui gandingan regu dari Malaysia itu sememangnya lebih berhak menang ke atas pasangan Indonesia setelah gandingan Hendra-Ahsan seperti mengendurkan permainan dan melakukan kesilapan sehingga membenarkan pasangan Malaysia mendominasi penuh set kedua sebelum menang 21-14.

“Aaron/Soh pun berhak atas medali emas melalui kemenangan atas Hendra/Ahsan. Kian istimewa, kemenangan Aaron/Soh menjadi yang pertama sepanjang penyertaan Malaysia di Kejuaraan Dunia sejak dipertandingkan pada 1977,” tambah artikel tersebut lagi.

Artikel tersebut juga sekali lagi mengulangi keyakinan kejayaan Aaron-Wooi Sik hanya berlaku setelah Rexy menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai Pengarah Kejurulatihan pada Disember 2021

“Malaysia belum pernah sekalipun membuatkan atletnya menjadi juara [di Kejohanan Dunia Badminton BWF]. Baru saat Kejuaraan Dunia tahun ini, Malaysia berhasil mempersembahkan medali emas lewat kemenangan Aaron/Soh.

“Dan hasil itu diperoleh setelah Rexy bergabung dengan Asosiasi Bulutangkis Malaysia (BAM) sebagai Direktur Pelatih pada Desember 2021,” tulis artikel itu lagi.

Rekod 50-50 Aaron-Wooi Sik

Untuk rekod, perlawanan akhir di Kejohanan Badminton Dunia BWF yang berlangsung di Tokyo, Jepun adalah pertemuan keenam di antara Aaron-Wooi Sik menentang Hendra-Ahsan.

Daripada enam pertemuan tersebut, gandingan regu dari Malaysia telah menang semua tiga pertemuan terakhir menentang regu Indonesia yang digelar ‘The Daddies’ di dalam dunia badminton itu.

Bukanlah mahu menafikan sumbangan Rexy Manaiky dalam membangunkan bakat Aaron-Wooi Sik.

Tetapi perlukah menyatakan gandingan negara hanya berhak bergelar juara hanya selepas dilatih jurulatih dari Indonesia?

Kongsi artikel ini