Kerana Coronavirus, Football Manager 2020 Pecah Rekod Pengguna Tertinggi

Pernah berlagak jadi Sir Alex Ferguson atau Ole Gunnar Solksjaer menguruskan Manchester United. Atau pun sebagai Jurgen Klopp dalam usaha menamatkan kemarau kejuaraan Liga Perdana Inggeris?

Jika pernah, maka permainan Football Manager bukan permainan yang asing bagi anda.

Permainan simulasi ini adalah antara permainan paling popular di kalangan kaki bola di seluruh dunia.

Boleh dimainkan di pelbagai platform, Football Manager 2020 (FM2020) adalah siri terbaru permainan ini.

Seperti biasa anda boleh memilih mana-mana kelab untuk diurus dan jadikan ia seperti kelab milik anda sendiri.

Pada ketika bola sepak Inggeris dan kebanyakkan liga bola sepak di seluruh dunia ditangguhkan sekurang-kurangnya sehingga awal April disebabkan penularan wabak coronavirus, FM 2020 tampak seperti pilihan peminat sukan bola sepak untuk melepaskan gian.

Malah pada Ahad lalu, rekod baharu pengguna aktif untuk permainan ini direkodkan.

Pengarah Studio Sports Interactive, Miles Jacobson mendedahkan hampir 90,000 pengguna aktif telah direkodkan melalui Steam – platform pengedaran digital – pada Ahad lalu.

Melalui ciapan di twitter, Jacobson berkata: “#FM20 kini sedang dimainkan oleh 84,063 di Steam, dan merupakan rekod baharu. Jumlah tersebut mungkin akan meningkat lagi hari ini.

“Terima kasih kerana memilih hasil kerja kami untuk menghiburkan anda pada ketika di kebanyakkan negara penduduknya tidak dibenarkan keluar.

“Semoga semua menjaga kesihatan diri.”

Ciapan tersebut kemudiannya diikuti oleh kemaskini terbaru pengguna permainan simulasi tersebut:

“Sekarang ia mencecah 89,864 pengguna!”

Lebih daripada 160,000 kes COVID-19 dilaporkan di seluruh dunia. 6,087 kematian turut direkodkan sejak wabak ini mulai menyerang Wuhan, China pada Disember lalu.

Itali adalah negara Eropah paling teruk terjejas dengan lebih 1000 kematian. Di UK jumlah kes meningkat epada 1,372 jangkitan pada pagi Ahad lalu, dan turut merekodkan 35 kematian.

 

Kongsi artikel ini