Keputusan Undian Piala Thomas: Malaysia, Indonesia Diundi Dalam Kumpulan A

Juara lima kali Piala Thomas, Malaysia sepatutnya tidak berhadapan sebarang masalah untuk mara ke pusingan kalah mati di pertandingan Piala Thomas yang akan berlangsung di Aarhus, Denmark mulai 3hb sehingga 11hb Oktober akan datang.

Dalam undian yang dilakukan pada petang tadi, Malaysia turut diundi dengan negara jiran dan juga seteru badmininton Asia Tenggara, Indonesia di dalam Kumpulan A.

Dua lagi pasukan yang melengkapkan kumpulan tersebut adalah dua pasukan dari Eropah iaitu England dan juga Belanda.

Berdasarkan kekuatan terkini, Malaysia dijangka tidak berhadapan sebarang masalah untuk menduduki dua tangga teratas Kumpulan A untuk mara ke pusingan seterusnya.

Cabaran utama pasukan negara semestinya tiba dari Indonesia yang menewaskan mereka 1-3 di perlawanan akhir Kejohanan Berpasukan Asia yang berlangsung di Manila pada awal Februari lalu.

Indonesia juga turut menjadi duri dalam daging buat pasukan negara di pusingan akhir Piala Thomas yang lalu, apabila pasukan negara bungkus awal tewas di suku akhir pertandingan tersebut dua tahun lalu.

Bagaimanapun dalam acara berpasukan Sukan SEA yang berlangsung di Filipina pada Disember lalu, skuad negara meraih emas apabila menundukkan lawan yang sama.

Kumpulan B pula menyaksikan juara bertahan China diundi di dalam Kumpulan B. Manakala juara 2016 dan 2014, Denmarka dan Jepun masing-masing diundi di dalam Kumpulan C dan Kumpulan D.

Perhatian semestinya tertumpu kepada saingan di dalam Kumpulan D yang dianggap kumpulan maut, kerana turut memuatkan Korea Selatan dan Thailand.

ย 

ย 

Kongsi artikel ini