Kento Momota: Raja Badminton Dunia Yang Dibangunkan Oleh Cikgu Izuan Ibrahim

Hari ini Kento Momota gah menduduki kedudukan No.1 di dalam senarai Badminton World Federation (BWF) dunia.

Tetapi tidak ramai yang mengetahui satu masa dahulu, karier pemain badminton perseorangan dunia itu hampir musnah kerana tabiat buru berjudi.

Sebagai atlet muda yang sedang meningkat naik semestinya sudah seperti asam garam kehidupan akan digoda dengan pelbagai perkara.

Tabiat berjudi adalah salah satu daripadanya. Mungkin ada yang tertanya-tanya apakah masalahnya dengan Mamota untuk berjudi?

Musibah ciptaan sendiri

Kejadian tersebut berlaku pada 2016, apabila Momota berjudi di kasino. Di Jepun, perniagaan kasino adalah haram. Apatah lagi jika seorang pemain badminton negara berjudi di kasino.

Untuk rekod, perniagaan kasino hanya dibenarkan di Jepun selepas 2018 sebagai salah sebuah usaha kerajaan mengawal perjudian haram.

Persatuan Badminton Jepun (NBA) tidak teragak-agak menggantung Momota selama setahun daripada sukan  tersebut kerana perbuatannya itu.

Lebih parah, pendaftaran Momota bersama BWF turut dibatalkan oleh NBA. Hukuman tersebut sekaligus memadamkan hasrat Momota untuk beraksi di Sukan Olimpik di Rio, Brazil yang turut terkubur.

Di Jepun status tidak membezakan sesiapa. Momota insaf akan perbuatannya pada ketika itu. Rakan senegara, Kenichi Tago malah tidak dapat menahan sebak di mahkamah selepas turut disabitkan bersalah.

2019 tahun kebangkitan

Tiga tahun selepas digantung oleh NBA, Momota menampilkan kebangkitan luar biasa pada 2019.

Malah apa yang dicapai oleh Momota dianggap sebagai terbaik yang pernah dicapai oleh mana-mana pemain secara individu di dalam sejarah badminton dunia.

Untuk 12 bulan yang lalu, Momota telah memenangi 11 kejuaraan, yang turut menyaksikan pemain perseorangan berusia 25 tahun ini membolot Kejohanan Dunia, Kejohanan Asia dan All England.

Ketiga-tiga pertandingan ini dianggap sebagai antara kejohanan individu berprestij selain daripada kilauan emas Sukan Olimpik, atau pun di Sukan Asia untuk acara individu.

Malah ketika nama pemain negara, Dato’ Lee Chong Wei dan pemain dari China, Lin Dan sedang menguasai pentas badminton dunia satu masa dahulu, kedua-dua jagoan ini masih tidak pernah mencapai apa yang dikecapi oleh Momota pada hari ini.

Pemain perseorangan yang menggunakan tangan kiri ini beraksi di dalam 73 perlawanan sepanjang tahun ini, dan tewas hanya enam daripadanya.

Pencapaian ini turut mengejutkan Momota sendiri selepas kejuaraan terakhir di China mengesahkan beliau memecah rekod kejuaraan yang dimiliki oleh Chong Wei selama ini.

Untuk rekod, Lee Chong Wei meraih 10 kejuaraan individu pada tahun 2010.

Kekal rendah diri

Walaupun pada hari ini Momota sudah pun bergelar pemain No.1 badminton dunia, pemain kelahiran Kagawa ini masih penuh dengan kerendahan diri.

“Walaupun saya sudah memecah rekod Lee Ching Wei, saya tidak fikir diri ini boleh dibandingkan dengan beliau sebagai seorang pemain, mahupun sebagai seorang individu,” kata Momota.

“Saya belum mencapai tahap legenda [seperti Lee Chong Wei dan Lin Dan]. Namun saya akan terus bekerja keras untuk kejohanan-kejohanan akan datang.”

Buat masa ini, satu-satunya pencapaian individu yang masih belum berada di dalam genggaman Momota ialah kilauan pingat emas Sukan Olimpik.

Pentas tersebut bagaikan sudah tersedia buat Momota menggenggam kilauan tersebut, apabila Tokyo menjadi tuan rumah Sukan Olimpik pada tahun hadapan.

Anak didik Cikgu Izuan

Pantai Sri Tujuh terletak di Tumpat, Kelantan. Ia dinamakan Pantai Sri Tujuh kerana terdapat 7 buah teluk atau lebih. Ia merupakan kawasan rekreasi yang menarik di Daerah Tumpat.

Tanyakan sahaja kepada mana-mana anak perantau kelahiran Kelantan, juadah ‘Nasi Air Dingin’ yang diterbangkan setiap hari ke Kuala Lumpur dari Tumpat adalah sajian penuh nikmat tidak terkata.

Itulah istimewanya Tumpat. Dan siapa sangka antara jurulatih yang berperanan besar membangunkan bakat Momota berasal dari daerah Tumpat. Jurulatih yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan adalah Izuan Ibrahim.

Sebelum serius berkecimpung di dalam bidang kejurulatihan badminton, tidak ramai yang mengetahui bahawa Izuan dahulunya pernah bergelar seorang guru.

Mendapat pendidikan di Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK), Izuan dikatakan pernah mengajar di SK Seksyen 1 Bandar Kinrara, sebelum bertukar kerjaya menjadi jurulatih badminton.

Malah di peringkat awal pembabitan di dalam bidang kejurulatihan, anak jati kelahiran Tumpat ini pernah bersama Nusa Mahsuri.

Izuan kemudiannya melebarkan karier kejurulatihannya ke Jepun, untuk bersama Persatuan Badminton Ehime.

Permata Ehime

Ehime adalah sebuah wilayah yang terletak di kepulauan Shikoku. Di peringkat kelab pembangunan, tidak kurang 30 kelab badminton ditubuhkan di wilayah ini sahaja.

Begitulah betapa seriusnya Jepun mengembangkan bakat badminton mereka. Di sinilah juga Izuan bertemu dengan Momota sehingga menjadi jurulatih pengiring Momota di Kejohanan Remaja Dunia di Taipei pada 2011.

Momota mungkin tidak bergelar juara dunia di kejohanan remaja tersebut selepas ditewaskan oleh wakil negara, Zulfadli Zulkifli yang kemudiannya muncul sebagai juara remaja dunia.

Tetapi sekurang-kurangnya kejohanan remaja tersebut membuka lebih banyak pintu dan ruang untuk Momota terus menampilkan aksinya. Pada penghujung 2011, Momota membuktikan dirinya antara pemain terbaik di Jepun apabila menewaskan rata-rata pemain senior skuad Jepun di Kejohanan Badminton Seluruh Jepun, sebelum tewas kepada Kenichi Tago di perlawanan akhir.

Pada tahun berikutnya pula, Momota menebus kehampaan pada 2011, apabila muncul Kejohanan Remaja Asia, dan Kejohanan Remaja Dunia pada tahun yang sama.

Kita semua tahu apa yang berlaku seterusnya. Jepun turut tampil sebagai juara Piala Thomas pada 2014, menewaskan Malaysia di perlawanan akhir. Kento Momota adalah sebahagian daripada wira Jepun pada ketika itu.

View this post on Instagram

Innalillahiwainnailaihirojiun… إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعون AlFatihah بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـلَمِين۞ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم۞ مَـلِكِ يَوْمِ ٱلدِّين۞إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ۞ ٱهْدِنَا ٱلصِّرَطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ۞صِرَطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ۞ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّاۤلِّينَ۞امين Salam takziah diucapkan buat keluarga Allahyarham Izuan Ibrahim yang telah kembali ke rahmatullah. Berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, Mudah-mudahan roh Allahyarham sentiasa dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan di kalangan para syuhada.

A post shared by KELAB BADMINTON NUSA MAHSURI (@nusamahsuri) on

Bagi Presiden Badminton Ehime, kebangkitan Kento Momota dan pembangunan badminton di wilayah tersebut adalah hasil jasa Izuan.

“Kami di Jepun membangunkan pemain dari usia muda dan menjadikan mereka pemain yang lebih bagus,” kata Satoshi Matsunoki yang merupakan Presiden Persatuan Badminton Ehime.

“Cabaran terbesar ialah untuk mengekalkan tahap kompetensi jurulatih. Ia sukar untuk memastikan pencapaian pelatih [usia muda] kekal dan meningkat ke tahap seterusnya.

“Beliau [Izuan] adalah jurulatih yang benar-benar memulakan pembangunan di sini dari mulanya. Begitulah kami mengingati beliau,” tambah Matsunoki lagi ketika bercakap kepada portal The Malaysian Reserves pada November lalu.

Sepanjang berkhidmat di negara matahari terbit itu, Izuan bertanggungjawab membantu melatih pemain bawah 19, 16 dan 13 tahun di bawah naungan Persatuan Badminton Ehime, sebelum turut diberikan peranan sebagai jurulatih skuad remaja Jepun.

Tidak boleh dinafikan, Kento Momota adalah pemain terbaik yang pernah dibangunkan oleh Izuan.

Rumusan

Semalam kita dikejutkan dengan pemergian Izuan Ibrahim yang meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.30 malam, selepas dimasukkan ke hospital tersebut sejak Khamis lepas akibat pendarahan di otak.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Siti Marsyhtah Muhammad dan tiga orang anak.

Izuan Ibrahim, akan dikenang selama-lamanya sebagai wira yang tidak didendang sukan badminton dunia.

Kongsi artikel ini