Kenali Mathew Fogarty, Pemain Badminton Tertua Dunia Yang Tampil Demi Sebuah Perjuangan

Berusia 65 tahun, Mathew Fogarty adalah pemain badminton tertua yang beraksi di Kejohanan Badminton BWF 2022 yang sedang berlangsung di Gimnasium Tokyo Metropolitan, Jepun.

Beraksi di dalam acara beregu campuran, gandingannya Isabel Zhong berusia 30 tahun.

Pasangan daripada Amerika Syarikat itu terpaksa menarik diri dalam pertemuan menentang regu campuran dari Malaysian, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei di set kedua ketika kedudukan 21-8, 19-2.

Difahamkan Fogarty terpaksa menarik diri disebabkan kecederaan yang dialaminya.

Tang Jie ketika bercakap kepada Timesport berkata: “Saya tahu [Fogarty] berusia 65 tahun, tetapi saya tertanya-tanya apakah perkara yang memberikan motivasi kepada dirinya untuk terus bemain [di tahap ini].

“Beliau mungkin sangat sukakan sukan ini. Saya sangat menghormati beliau. Malang sekali beliau mengalami kecederaan [ketika permainan] dan terpaksa menarik diri.

“Saya tidak berkata Peck dan saya bermain bersahaja kerana menentang mereka [pusingan pertama kejohanan]. Kami menampilkan aksi normal kami.”

Siapa sebenarnya Mathew Fogarty

Dilahirkan pada 30 Oktober 1956, nama Mathew Fogarty sebenarnya bukan nama asing di dalam dunia badminton.

Mulai aktif sejak 1980, Fogarty telah berpasangan dengan tujuh pemain lain di dalam acara beregu.

Jika dahulu beliau memberi fokus untuk acara beregu lelaki, kini Fogarty berpasangan dengan Isabel Zhong – seorang pelakon dan model untuk acara beregu campuran – lebih 30 tahun lebih muda daripadanya.

Pada tahun 2008, pada usia 58 tahun Fogarty mencatat rekod sebagai pemain tertua yang bermain di Kejuaraan Dunia BWF di Istora Senayan Indoor Stadium, Jakarta.

Sepanjang kariernya, Fogarty telah melakukan penampilan di dalam Kejuaraan Dunia BWF sebanyak tujuh kali.

Sepanjang kariernya, Fogarty telah memenangi empat gelaran Kejuaraan Badminton Nasional Amerika Syarikat di dalam acara beregu campuran iaitu pada tahun 1980, 1984, 1986, dan 2000.

Di sebaliknya usianya yang semakin meningkat, Fogarty masih mampu mendatangkan kejuaraan untuk negaranya. Kali terakhir, Forgaty berjaya bergelar juara adalan di Kejuaraan Pan America 2014.

Impian ke Olimpik

Walaupun pada usia yang dianggap senja bagi mana-mana atlet, Fogarty tidak pernah memadam impian untuk ke Sukan Olimpik.

Malah gandingannya bersama Isabel Zhong sebenarnya adalah untuk ke merealisasikan impian untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020 – impian yang masih gagal dicapai pada hari ini.

Fogarty adalah seorang yang realistik. Beliau sedar tidak mudah untuk pemain badminton dari Amerika Syarikat yang lebih popular dengan sukan seperti bola keranjang dan NFL untuk layak secara merit ke temasya sukan terbesar itu.

Namun bagi Fogarty, menyerah kalah begitu sahaja bukan jawapan yang boleh diterima di dalam hidupnya. Paling penting, beliau terus memberi segala kudrat yang ada untuk menampilkan aksi terbaik di setiap peluang yang terhidang.

“Saya beritahu dia [Isabel] saya tidak tahu jika kami mampu melakukannya, tetapi kami harus mencuba. Ia adalah peluang yang amat tipis. Tipis sehingga kosong sebenarnya,” kata beliau kepada CNBC pada 2018

“Matt [Fogerty] mengambil perkara tersebut dengan amat serius,” kata Dean Schoppe, seorang lagi bekas pemain badminton Amerika Syarikat yang pernah digandingkan dengan Fogerty.

“Ramai pemain badminton bersara pada usia 26 atau 27 jika mendapat kecederaan serius, terutamanya di bahagian lutut.

“Tetapi memang ada manusia dilahirkan khas untuk bermain, dan anda melihat perkara itu di semua jenis sukan seperti Magic Johnson (bekas pemain legenda bola keranjang Amerika Syarikat).

Demi sebuah perjuangan

Jika dinilai secara logik, apakah perkara yang mahu dibuktikan lagi oleh Fogarty pada usia 65 tahun? Kebanyakkan acara yang disertainya adalah di atas perbelanjaan dan kemahuan sendiri.

Sebenarnya penampilan Fogarty sehingga ke hari ini adalah kerana pendiriannya dan sebuah perjuangan menentang korupsi dan salah laku di dalam sukan badminton di Amerika Syarikat.

Fogarty sebenarnya pernah terlibat dalam perang secara perundangan dengan Persatuan Badminton USA (USA Badminton).

Pada ketika itu Forgaty mendakwa pegawai di dalam persatuan itu menghancurkan harapan mereka untuk layak ke Olimpik apabila menghalang penyertaan beliau dan gandingannya di dalam acara beregu lelaki Sukan Olimpik 2000 yang berlangsung di Sydney.

“Perkara terakhir mereka mahukan ialah untuk melihat seorang pemain berusia 42 tahun bergandingan dengan pemain berusia 18 tahun yang cuba melayakkan diri ke Olimpik,” kata Schoppe.

Dan selepas itu berlaku rombakan besar dengan peletakan jawatan ramai pegawai di dalam badan USA Badminton selepas pihak Olimpik USA dan Komiti Paralimpik mengancam penarikan pensijilan USA Badminton.

Linda French yang memegang jawatan CEO USA Badminton secara interim selepas itu enggan memberikan komen lanjut dan memilin untuk menutup mulut mengenai perbalahan di antara Fogarty dan badan induk itu.

Fogarty pula meneruskan usahanya memperjuangkan sukan badminton di negaranya selagi kudratnya masih membenarkan beliau berbuat demikian.

Seorang doktor

Mengakui tidak mudah untuk memastikan tubuh badannya beraksi di tahap tertinggi, Fogarty tetap berdisiplin melakukan latihan selama enam hari di dalam seminggu.

Fogarty juga pernah berehat daripada sukan badminton pada lewat 1980 an sehingga awal 1990 an sebelum kembali beraksi pada lewat 1990 an kerana menghadiri sekolah perubatan.

“Saya terus bermain kerana saya masih mampu, dan saya adalah seorang doktor. Saya berpendapat sukan adalah perkara penting untuk kesihatan dan kecergasan seseorang.” kata Fogarty.

“Saya akan berhenti jika saya sudah tidak lagi layak. Buat masa sekarang peluang itu masih ada, dan saya sayangkan sukan ini. Saya akan tetap meneruskan dan akan bermain sebaik mungkin yang saya mampu tampilkan.”

Walaupun sudah tersingkir daripada Kejohanan Dunia BWF 2022 oleh pasangan dari Malaysia semalam, belum ada petanda Fogarty akan bersara.

Pada hari ini, selain sebagai seorang pemain badminton, Mathew Fogarty juga merupakan seorang doktor bertauliah bersama Angkatan Tentera Laut Amerika Syarikat.

Kongsi artikel ini