Kelab Sepanyol Dan Itali Berlumba-Lumba Mahu Dapatkan Lingard

Jesse Lingard dilaporkan telah menarik perhatian kelab La Liga dan Serie A untuk perpindahan dari Old Trafford pada jendela perpindahan musim panas akan datang.

Pemain berusia 27 tahun itu merupakan penyokong setia Manchester United sejak zaman kanak-kanak.

Lingard pasti mahu kekal di Old Trafford, dan Ole Gunnar Solskjaer mungkin melihat kepentingan pemain ini sebagai anak jati Manchester.

Namun kemerosotan prestasi Lingard sejak beberapa musim lalu menyebabkan penghijrahan keluar dari Old Trafford adalah satu kemungkinan besar buat pemain tengah ini.

Kontrak Lingard bersama Manchester United kini berbaki 18 bulan. Seperti kebiasaan, United mempunyai pilihan untuk mengekalkan pemain yang mereka kehendaki selam semusim.

Ia bertujuan untuk melanjutkan rundingan kontrak baharu. Malah laporan media di UK berkata perbincangan secara lisan turut telah diadakan bersama wakil Lingard untuk kontrak baharu di Old Trafford.

Namun selepas kerap kali dikecam oleh penyokong sendiri, Lingard dikatakan turut terbuka untuk berhijrah untuk permulaan baharu di tempat lain.

Roma dilaporkan berminat dan boleh menarik perhatian Lingard untuk memperbaharui karier beliau sepertimana yang dilakukan oleh Chris Smalling.

Kelab La Liga, Atletico Madrid dikatakan turut memantau situasi Lingard dan memerlukan pemain di posisi yang sama dengan pemain ini di United dan England.

Minat dari kedua-dua kelab dikatakan serius selepas Mino Raiola yang dikaitkan sebagai konsultan dan ejen baru pemain tersebut telah dimaklumkan mengenai perkara ini.

Wakil rasmi Lingard kini turut telah mengambil maklum mengenai minat dari Serie A dan La Liga itu.

Lingard sebelum ini ketandusan jaringan selama lebih setahun untuk United sebelum menjaringkan gol ketika membelasah Tranmere Rovers di Piala FA.

Lingard kemudiannya bermula dari kesebelasan utama dalam skuad yang menewaskan Manchester City 1-0 di separuh akhir kedua Piala Carabao.

Lingard telah ditengking dari tepi padang oleh Solskjaer di perlawanan tersebut dan insiden tersebut telah menjadi tular di kalangan netizen.

Dalam perlawanan menentang Wolves pada hujung minggu lalu, Lingard memulakan perlawanan dari bangku pemain simpanan, selepas Solskjaer menurunkan pemain baharu, Bruno Fernandes di posisi sama.

Adakah Lingard benar-benar akan pergi meninggalkan Old Trafford? Atau adakah beliau akan menjadi pemain setia United?

Apa pula pendapat penyokong Manchester United?

 

Kongsi artikel ini