‘Kelab Kuning & Merah’ – Liga Thai Bakal Jadi Destinasi Terbaru Liridon Krasniqi

Masa depan pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi mulai menjadi tanda tanya peminat bola sepak tempatan selepas kontrak pemain itu sah tidak disambung oleh kelab Indian Super League (ISL), Odisha FC.

Pemain kelahiran Kosovo itu sebelum ini dipijamkan ke kelab ISL itu daripada JDT pada Ogos tahun lalu.

Ia tidak mengejutkan Odisha tidak menyambung khidmat pemain  tengah itu selepas sumbangannya yang dianggap begitu sederhana sepanjang tempih semusim di ISL.

Sepanjang semusim bersama Odisha, Liridon gagal menghasilkan sebarang jaringan atau assist sepanjang 16 penampilan bersama pasukan itu pada musim lalu.

Liridon bakal beraksi di Liga Thai?

Beberapa portal bola sepak tempatan sebelum ini turut melaporkan pemain itu berkemungkinan akan kembali ke Liga Malaysia bersama JDT selepas ini.

Mengambil kira keadaan semasa, situasi tersebut kelihatan sukar untuk Liridon, dan idea untuk dipinjamkan ke kelab lain di luar negara dianggap sebagai pilihan yang lebih munasabah.

Semalam wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melalui ciapannya melaporkan kemungkinan besar pemain itu akan beraksi di Liga Thai pada musim hadapan.

Menurut Zulhelmi, perpindahan tersebut pada masa ini berada di peringkat rundingan, dan kemungkinan Liridon beraksi di Liga Thai hanya berlaku sekiranya persetujuan mampu dicapai oleh kedua-dua pihak.

Berbeza dengan Liga Malaysia, pertandingan domestik di negara jiran itu hanya akan bermula pada Ogos akan datang untuk musim 2022/23.

Buat masa ini kesemua pasukan di Liga Thai sedang sibuk mempersiapkan pasukan masing-masing dengan merekrut muka baharu dan menyusun perlawanan pra musim bagi menghadapi saingan musim baharu.

Kelab kuning & merah

Baru-baru ini bekas pemain Kedah dan Newcastle Jets itu turut memberi bayangan akan menyertai kelab baharu dengan emoji kuning dan merah.

Timbul tanda tanya kelab manakah yang bakal disertai oleh Liridon. Berdasarkan perkongsian tersebut adakah Liridon bakal menyertai kelab yang baru dinaikkan ke Liga 1 Thai, Sukhotai FC?

 

Sukhothai FC adalah antara kelab Thailand yang selama ini beridentitikan warna kuning dan merah sebelum menukar logo mirip warna oren beberapa musim lalu.

Sekiranya tanggapan tersebut benar, maka Liridon bukanlah satu-satunya pemain dari negara ini yang pernah menyarung jersi skuad The Fire Bats.

Pada musim 2018, Sukhothai FC turut pernah mendapatkan khidmat pemain berdarah campuran, Curran Ferns.

Sukhotai FC adalah juara Piala FA Thai musim 2016. Musim lalu mereka menamatkan saingan di Thai League 2 sebagai naib johan untuk memenangi promosi ke Thai League 1.

Kongsi artikel ini