Kasih Ibu Yang Sentiasa Menjadi Nadi Perjuangan Corbin Ong

Kasih seorang ibu sentiasa istimewa. Daripada sejak lahir ke dunia, sehingga anda memulakan langkah pertama untuk berjalan dan berjaya di kemudian hari, kasih seorang ibu ibarat restu yang sentiasa menyertai perjalanan kehidupan seorang anak.

Begitu juga kisahnya dengan pemain bek kiri JDT dan Harimau Malaya, Corbin Ong.

Corbin dianggap sebagai bek kiri terbaik yang dimiliki negara buat masa ini. Lariannya dari sebelah kiri sering menjadi ancaman buat lawan.

Gol Corbin Ong

Pada Rabu lalu, jaringan Corbin pada babak akhir separuh masa pertama ketika menentang Turkmenistan membantu pasukan negara kendalian Kim Pan-gon menang 3-1.

Pada minit ke-47 perlawanan, pertahanan JDT itu melakukan larian dari kawasan pertahanan sendiri untuk melancarkan serangan balas pantas ke kubu lawan.

Gerakan solo Corbin kemudian disudahkan dengan satu rembatan kencang, menewaskan penjaga gawang Turkmenistan, Orazmuhammedov Mammet.

Ia adalah kemenangan yang cukup penting buat pasukan negara yang memburu slot ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Lebih penting adalah kerana jaringan Corbin berjaya membunuh semangat barisan pemain Turkmenistan yang semakin yakin selepas berjaya merapatkan jurang, menjadikan kedudukan 2-1.

Keraian Corbin

Keraian Corbin selepas menjaringkan gol tersebut boleh difahami. Ini kerana beliau berjaya melakukannya di hadapan insan paling istimewa, iaitu ibunya.

Corbin dilahirkan di London, England. Ayahnya, Lawrence Corbin adalah warga Barbados. Manakala pertalian darah Corbin dengan Malaysia adalah melalui ibunya, Elizabeth Ong.

Elizabeth Ong adalah seorang jururawat, manakala Lawrence adalah seorang pakar psikiatri.

Corbin tidak teragak-agak mencari ibunya, Elizabeth Ong di kalangan ribuan penyokong pasukan negara yang hadir menyaksikan perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas tamat perlawanan.

Malah kedua-duanya berpelukan tanda kesyukuran, dan seperti mana-mana ibu, perasaan bangga Elizabeth melihat anaknya berjaya menjaringkan gol untuk negaranya jelas terserlah.

Perkongsian Corbin di Instagram peribadinya meraikan kemenangan Malaysia cukup untuk menceritakan kasih seorang ibu yang menjadi nadi kejayaan seorang anak.

Gol istimewa

Bagi Corbin sendiri gol yang dijaringkan ketika menentang Turkmenistan adalah jaringan terbaik yang pernah dihasilkan sepanjang kariernya setakat ini.

“Ini kali pertama di Malaysia saya menjaringkan gol seperti itu. Apapun saya lebih gembira kerana jaringan itu dapat membantu pasukan,” ujar beliau seperti dilaporkan Makan Bola.

“Setakat hari ini, itu adalah gol terbaik yang berjaya saya hasilkan. Mungkin dikemudian hari, akan ada lagi gol terbaik yang saya jaringkan. Setiap jaringan itu adalah penting dan setiap jaringan adalah buat pasukan.”

Sudah tentu kita juga mengharapkan Corbin dan rakan sepasukan yang lain mampu beraksi dengan baik untuk menewaskan Bahrain dalam perlawanan pada malam nanti.

Kongsi artikel ini