“Kalau Dia Dalam JDT, Hari Ini Sudah Menang Banyak Piala” – Nurridzuan Dan Wan Zack Pernah Tolak Lamaran JDT

Dua pemain yang pernah menjadi tunjang utama skuad B-23 negara, Nurridzuan Abu Hassan [Nurri] dan Wan Zack Haikal pasti sudah memiliki banyak kejuaraan dan masa depan yang cerah jika tidak menolak lamaran JDT suatu ketika dahulu.

Tawaran kepada dua pemain itu pernah dilakukan oleh JDT pada ketika kedua-dua pemain masih ‘laku’ dan berada di kemuncak prestasi.

Perkara itu didedahkan oleh pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam satu sesi bertemu penyokong pada malam tadi.

 

”Kalau dia [Nurridzuan Abu Hasssan] dalam [terima tawaran] JDT hari ini sudah menang berapa piala dan berapa agaknya duit dalam bank,” kata TMJ.

“Sebelum mana-mana pemain masuk JDT, saya sudah cakap terus terang bahawa di sini perlu fight tempat masing-masing dan tidak semua orang dapat bermain tapi jikalau awak nak dapat title ataupun pencapaian menjadi juara berkenaan beberapa pertandingan dan awak nak bank account improve, ini tempatnya,” tambah beliau lagi.

Sejak meninggalkan skuad Harimau A, Nurri telah menyarung jersi beberapa kelab namun gagal memberikan impak yang diharapkan setelah menunjukkan potensi yang bagus pada awal kariernya.

Selain daripada Perak, Pahang dan Selangor, Nurri turut pernah mewakili Melaka United namun kini karier pemain itu seperti sudah hilang dari radar.

Wan Zack Haikal pula memilih untuk ke Jepun dan bersama FC Ryuku sebelum beberapa siri kecederaan merencatkan kariernya.

Setelah beberapa musim bersama Selangor FC, musim ini Wan Zack beraksi di Liga Premier bersama Perak FC.

Kongsi artikel ini