Kakitangan Stadium Guna Kadbod & Penyodok Buang Air Atas Permukaan Padang SNBJ?

Hujan lebat yang turun sebentar tadi menyebabkan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) berada di dalam keadaan kurang baik.

Malah beberapa rakaman foto yang berlegar di media sosial jelas menampilkan keadaan air bertakung hampir di seluruh kawasan padang permainan.

Malaysia bakal berhadapan Bahrain untuk perlawanan kedua pusingan kelayakan Piala Asia 2023 pada malam ini, dan perlawanan tersebut dianggap amat penting untuk kedua-dua pasukan pada malam ini untuk memburu slot automatik sebagai juara kumpulan.

Permukaan padang SNBJ sebelum ini sering kali dikritik kerana permukaannya.

Malah ia turut mendapat kritikan pengendali Bangladesh, Jon Andersen sebelum pusingan kelayakan Kumpulan E ini bermula baru-baru ini.

Back up plan PSM?

Seperti kita semua maklum, SNBJ adalah di bawah penyelenggaraan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

Situasi hujan lebat dan perlawanan penting membuatkan kita berfikir PSM pasti akan mempunyai back-up plan untuk mengawal keadaan sebelum sepak mula.

Anehnya, hanya kelihatan dua orang kakitangan stadium menggunakan penyodok untuk mengalirkan air yang bertakung.

Selain itu, beberapa kakitangan lain seperti menggunakan kepingan kadbod atau papan lapis untuk menyapu keluar air yang bertakung. Nampak terdesak dan tidak profesional.

Ingatkan ada kaedah lain yang lebih berkesan seperti membuat lubang di atas permukaan padang untuk membenarkan pengaliran air yang lebih cepat – sepertimana amalan di stadium terkemuka yang lain.

Atau mungkinkah PSM setidak-tidaknya menyediakan penutup padang/pitch covers seperti yang pernah digunakan oleh JDT di Larkin.

 

Ia adalah kaedah paling mudah untuk menjaga permukaan padang sebelum ianya dibaik pulih sepenuhnya selepas ini.

Mujurlah keadaan air bertakung di permukaan padang SNBJ beransur pulih. Ayuh kita harapkan perlawanan boleh berlangsung dengan lancar pada malam ini.

Kongsi artikel ini