KAFA Terima Keputusan Presiden & Naib Presiden ‘Berehat’

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengambil tindakan drastik menerima keputusan Presiden Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan timbalannya, Datuk Seri Afandi Hamzah berehat daripada mainkan peranan masing-masing.

Bagi melancarkan urusan badan induk bola sepak negeri itu, Naib Presiden, Datuk Shaari Mat Hussain pula diberi mandat bagi menguruskan persatuan itu berkuatkuasa serta-merta.

Menurut Afandi dalam sidang media pada hari ini, langkah tersebut diambil demi kepentingan KAFA dan menyelamatkan badan bola sepak itu, selain bersandarkan kepada ketokohan dan pengalaman yang dimiliki Shaari.

“Keputusan kami berdua [untuk berehat] telah dipersetujui oleh exco KAFA dan tindakan ini sebenarnya bagi memberikan laluan kepada perubahan struktur persatuan buat sementara waktu.

“Dengan mandat ini, Datuk Shaari akan menguruskan KAFA sehingga satu tempoh yang bakal ditetapkan.

“Kami juga meletakkan kepercayaan kepada beliau untuk melakukan sesuatu bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh persatuan,” jelas Afandi.

Shaari pula nekad bersama barisan exco yang lain untuk mencari cara menyelesaikan masalah kewangan dan hutang yang semakin meruncing membelungi KAFA.

“Saya sudah bersama dengan KAFA sejak 2006 lagi. Sudah masak dengan asam garam persatuan ini,”kata Shaari.

“Biarpun tidak diberi sebarang tempoh masa untuk menyelesaikan masalah hutang ini, namun kami cuba selesaikan secara berperingkat sambil melihat kewangan pasukan.”

Kongsi artikel ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on print
Share on email