K. Rajagobal Anggap Hubungan Dengan Safiq Rahim Ibarat Anak Dan Ayah

Bekas Ketua Jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal menganggap hubungan beliau dengan bekas kapten pasukan negara, Safiq Rahim seperti hubungan seorang anak dan ayah.

Dalam perkongsian di Twitternya, jurulatih itu berkata Safiq adalah pemain yang sentiasa memberikan yang terbaik untuk beliau ketika beraksi di atas padang – untuk pasukan negara.

Di bawah kendalian Rajagobal, Safiq membantu skuad Bawah-23 negara muncul pemenang pingat emas di Sukan SEA pada 2009.

Menggunakan kelompok pemain muda dari skuad Bawah-23 diketuai Safiq Rahim sebagai kapten yang cemerlang di Sukan SEA Laos itu, K. Rajagobal turut membawa pasukan negara muncul juara Piala AFF Suzuki pada 2010.

Ia menjadi detik bersejarah bagi pasukan negara dan bola sepak Malaysia amnya kerana itulah pertama kali pasukan negara muncul juara pertandingan peringkat serantau.

Sehingga kini, kejuaraan pada 2010 kekal sebagai satu-satunya kejuaraan yang pernah diraih pasukan negara di pertandingan tersebut.

“Jujurnya ia bukan hubungan yang berat sebelah daripada saya. Beliau [Safiq] sentiasa memberikan yang tebaik di atas padang, atau pun mungkin lebih lagi. Seperti seorang anak [melakukan] untuk seorang ayah.

“Ia adalah hubungan istimewa yang saya miliki dengan Safiq, dan mereka yang lain dari kelompok kumpulan pemain ini,” kata beliau melalui ciapan tersebut.

Selain Safiq, pemain lain yang turut berada di dalam pasukan pada ketika itu adalah Norshahrul Idlan Talaha, Mahali Jasuli, Safie Sali, Amar Rohidan, Khairul Fahmi, Mahali Jasuli dan ramai lagi.

Difahamkan Datuk K. Rajagobal akan mengeluarkan buku autobiografi beliau dalam masa terdekar. Ikuti perkembangan beliau di akaun Twitter @RajagobalRg untuk perkembangan terkini buku tersebut.

Kongsi artikel ini