Jurulatih Turkmenistan ‘Perlekehkan’ Peranan Ekor Harimau Malaya Di SNBJ

Menjelang perlawanan pembukaan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia Kumpulan E perkara berkaitan perang psikologi di antara pasukan bertanding nampaknya sudah pun bermula.

Melalui sidang media pra perlawanan di antara Malaysia dan Turkmenistan semalam, jurulatih pasukan pelawat, Yazguly Hojageldyyew secara terang-terangan memperlekehkan peranan ‘ekor’ Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kedua-dua pasukan hadir ke perlawanan tersebut dengan misi mencari tiga mata dalam usaha memburu mata lolos ke pusingan akhir Piala Asia pada tahun hadapan.

Mungkin kerana tidak mahu anak buahnya tertekan kerana perlu beraksi di halaman lawan, Yazguly Hojageldyyew tidak mahu melihat kehadiran penyokong yang dijangka membanjiri SNBJ akan menganggu rentak permainan pasukan.

“Tiga atau dua tahun lalu sebelum pandemik kami pernah rasainya. Ia bukan masalah besar, mungkin akan ada kesilapan-kesilapan kecil dan ia tidak akan mengganggu pasukan kami,” katanya.

Yazguly Hojageldyyew bukan jurulatih pertama yang memperlekehkan peranan penyokong pasukan negara di SNBJ sebelum terpaksa mengakui aura yang dihasilkan oleh mereka dalam membantu skuad Harimau Malaya menampilkan aksi cemerlang di tempat sendiri.

Guus Hiddink misalnya terkejut dengan aksi pemain negara di pusingan kelayakan Piala AFC B-23 di Stadium Shah Alam pada 2019 selepas mendapat sokongan padu penyokong.

Pengendali Vietnam, Park Hang-seo juga mengakui Malaysia adalah pasukan berlainan setiap kali beraksi di tempat sendiri.

Bekas jurulatih Thailand, Akira Nishino turut tidak dapat menjelaskan kekalahan anak buahnya di pusingan kedua kelayakan Piala Asia yang lalu ketika beraksi di Bukit Jalil.

Adakah Turkmenistan akan menjadi mangsa seterusnya?

Kongsi artikel ini