Jurulatih Indonesia Shin Tae-yong ‘Stress’ Dengan PSSI Kerana KPI Tidak Masuk Akal

Jurulatih dari Korea Selatan, Shin Tae-yong secara terbuka mengkritik Persatuan Sepak Bola Indonesia (PSSI) yang merupakan majikannya pada hari ini kerana memberikan sasaran yang tidak masuk akal.

Jurulatih Piala Dunia Korea Selatan di kejohanan Piala Dunia 2018 itu melemparkan kritikan tersebut di media Korea Selatan baru-baru ini,

Apa yang membuatkan Shin Tae-yong tidak senang, sasaran yang diberikan tidak sama seperti perjanjian atau KPI yang diberikan sebelum menandatangani kontrak sebelum ini.

Bercakap kepada JoongAng Ilbo, jurulatih berusia 51 tahun itu dipetik sebagai berkata:

“Sekarang ini semua rancangan awal yang telah disusun sudah tidak lagi sama seperti ketika saya baru tiba di sini. Dan saya sudah tidak tahan dengan keadaan ini,” kata Shin Tae-yong.

“Antaranya mereka [PSSI] mahu saya membawa skuad Bawah-19 Tahun Indonesia ke separuh akhir Kejohanan AFC di Uzbekistan.

“Selepas itu mereka memberikan sasaran untuk Indonesia muncul juara Piala AFF pada hujung tahun ini.

“Dan pada tahun hadapan, mereka mahu saya memastikan pasukan Indonesia mara sekurang-kurangnya ke perlawanan akhir Piala Dunia B-20 yang dianjurkan oleh negara tersebut.

“Lalu saya bertanya kepada mereka [PSSI]. Adakah anda sedar kedudukan ranking FIFA Indonesia pada hari ini?

“Lalu saya dijawab, ‘Di kedudukan ke-173,’ oleh salah seorang daripada mereka dari PSSI dengan perasaan tidak senang.”

Shin Tae-yong dilantik oleh PSSI selaku pelatih Indonesia pada Disember tahun lalu selepas memecat Simon McMenemy.

Dan ini bukan kali pertama munculnya isu dalam hubungan Shin Tae-yong dan juga PSSI sejak pelantikan tersebut.

Pada bulan lalu, media di Korea Selatan lantang membidas PSSI ekoran gaji tertunggak yang dihadapi oleh jurulatih itu.

Walaupun mengakui mengalami masalah kewangan, PSSI dilaporkan telah melunaskan tunggakan tersebut.

 

Kongsi artikel ini