Jurulatih Dedah Bagaimana Kogileswaran Atasi Masalah Berat Badan Sebelum Debut Kompetitif Di Korea Selatan

Ketua Jurulatih Chungbuk Cheongju, Choi Yoon-gyeom mendedahkan bagaimana Kogileswaran Raj berhadapan masalah berat badan dan tahap kecergasan rendah ketika baru menyertai kelab Korea Selatan itu beberapa bulan lalu.

Sebelum ini timbul tanda tanya di kalangan peminat bola sepak tempatan mengenai karier Kogileswaran di Korea Selatan setelah tidak berada di dalam skuad hari perlawanan untuk empat perlawanan pertama K-League 2 bersama Chungbuk.

Pemain itu akhirnya melakukan penampilan pertama bersama pasukan baharunya itu di dalam perlawanan Piala FA menentang Seoul Jungnang, dan debut Kogileswaran dianggap cemerlang membantu pasukannya menang 3-0.

Dalam perlawanan tersebut, Kogileswaran kelihatan yakin terlibat dengan gerakan serangan Chungbuk, dan turut berjaya melakukan beberapa percubaan berbahaya ke arah gawang lawan.

Berkongsi kepada media mengenai debut Kogileswaran, Choi Yoon-gyeon mendedahkan bagaimana pemain terpaksa menurunkan berat badan dan menaikkan stamina sebelum mendapat tempat di dalam pasukan.

“Kogi [Kogileswaran Raj] berjaya menurunkan berat badannya sendiri untuk menjadi [pemain] kompetitif. Beliau juga berusaha dengan baik menyesuaikan diri dengan bola sepak Korea, sebelum diberikan peluang beraksi.

“Jika beliau boleh meningkatkan lagi stamina diri dan kebolehan menguruskan diri ketika perlawanan, saya jangkakan dia akan menjadi pemain yang lebih pada masa hadapan,” jelas Choi Yoon-gyeon seperti yang dipetik daripada media Korea Selatan, besteleven.com .

Kogileswaran yang beraksi selama 60 minit sebelum dikeluarkan oleh jurulatih turut gembira dengan penampilan pertamanya di K-League pada musim ini.

“Saya amat berterima kasih kepada penyokong yang berada di Korea dan juga di Malaysia atas sokongan mereka. Terima kasih kepada pengurus pasukan, kakitangan kejurulatihan dan rakan sepasukan untuk penampilan pertama yang baik ini.

“Saya akan terus berusaha untuk menampilkan aksi yang lebih baik pada perlawanan akan datang,” ujar Kogileswaran.

Setelah berjaya melakukan penampilan pertamanya bersama Chungbuk Cheongju pada musim ini, Kogileswaran kini pasti tampil lebih bersemangat untuk membantu pasukannya memperbaiki kedudukan di K-League2.

Selepas empat perlawanan, Chungbuk kini berada di kedudukan ke-7 K-League 2 hasil satu kemenangan, dua seri, dan satu kekalahan dengan lima mata.

Kongsi artikel ini