Jurgen Klopp Salahkan Diri Kerana Tewas Dengan Burnley

Jurgen Klopp menyalahkan dirinya sendiri selepas keputusan yang memalukan kepada Liverpool di gelanggang sendiri kepada Burnley 0-1.

“Ia merupakan persembahan yang buruk dan mustahil Liverpool boleh kalah tetapi ia telah terjadi dan itu adalah kesalahan saya sendiri” ujar Klopp yang ternyata kecewa pada malam itu.

Ini merupakan kekalahan pengendali dari Jerman yang pertama di Anfield selepas rekod kebal selama 68 perlawanan dicalarkan oleh skuad Burnley hasil jaringan penyerang Ashley Barnes melalui penalti minit ke 83.

Burnley merupakan pasukan pertama yang menumbangkan Liverpool di Anfield dan ia menjadi lebih manis lagi selepas menunggu 47 tahun menumbangkan gergasi The Reds tersebut.

“Bukan kami tidak mencipta peluang gol kerana kemampuan pemain kami boleh tetapi keputusan kami dalam perlawanan itu. Itu keputusan yang dilakukan oleh pemain dan ia membezakan antara pemain bola sepak yang bagus dan dengan pemain bola sepak yang sangat bagus.” tambah Klopp lagi kepada Sky Sports.

“Kerja saya sekarang ialah mengembalikan keyakinan pemain saya semula.”

Liverpool kini kebuntuan gol dalam empat perlawanan yang telah dihadapi menunjukkan prestasi penyerang seperti Salah , Firmino dan Mane berada dalam keadaan menurun tidak seperti yang mereka tampilkan sebelum ini.

Liverpool menguasai sebahagian besar permainan menentang pasukan Sean Dyche tetapi tidak dapat memecahkan kebuntuan gawang gol Burnley , dengan prestasi buruk Divock Origi dan ketangkasan penjaga gol Pope mengekalkan skor 0-0 pada separuh masa pertama.

Di akhir separuh masa kedua The Reds menerima hukuman setelah Alisson Becker menjatuhkan Ashley Barnes di petak penalti dan penyerang itu melengkapkan gol sekaligus mengakhiri rekod tanpa kalah dan kebal di Anfield memungut tiga mata penuh.

Sejak kemenangan The Reds 7-0 ke atas Crystal Palace pada bulan Disember, mereka hanya mengumpulkan satu gol sahaja di Liga Perdana Inggeris dan ketandusan gol ini yang menyaksikan mereka ketinggalan enam mata di belakang pendahulu Manchester United.

Liverpool akan menghadapi Manchester United sekali lagi bagi saingan Piala FA Emirates pada minggu hadapan dan ia akan menjadi perhatian oleh penyokong seluruh dunia kepada dua gergasi kelab EPL ini.

Kongsi artikel ini