Jurgen Klinsmann: Legenda Jerman Yang Dianggap Elegan Kerana Pesona Sebagai Pemusnah

Nama Jurgen Klinsmann mungkin kurang menjadi sebutan berbanding legenda pasukan Jerman yang lain seperti Beckenbauer, Matthaus, Gerd Mueller dan lain-lain.

Ini mungkin kerana Klinsmann tidak berada hanya di satu kelab untuk ramai mengingatinya. Klinsmann merupakan pemain Jerman terawal yang beraksi di 3 liga paling kompetitif di eropah pada masa itu.

Menariknya, Klinsmann memberikan impak di setiap kelab yang disertainya dengan cemerlang. Jurgen Klinsmann adalah seorang penyerang- namun memiliki identiti dan kebolehan bola sepak yang menyeluruh.

Embed from Getty Images

Mempunyai keupayaan dan kekuatan untuk menggunakan kedua-dua belah kaki, kepantasan, dan ketajaman, menjadikan Klinsmann pemain yang sukar dihalang oleh pertahanan dan penjaga gol lawan.

Berupaya melepaskan rembatan menggunakan kedua-dua belah kaki, Klinsmann turut boleh bermain sedikit ke bawah di posisi No.10, sesuai dengan taktikal semasa jurulatih dan pengurus.

Karier profesional Jurgen Klinsmann bermula bersama Stuttgarter Kickers, namun mulai mencipta nama buat dirinya bersama VfB Stuttgart. Pada 1988, Klinsmann memimpin VfB ke perlawanan akhir Piala UEFA dan dinobatkan sebagai Pemain Terbaik German pada tahun yang sama.

Jaringan lipatan guntingnya untuk VfB Stuttgart ketika menentang Bayern Munich menjadi sebutan setiap peminat bola sepak seluruh pelusuk dunia pada masa itu.

Pada 1989, Klinsmann menyertai Inter Milan, sebuah pasukan yang dianggap antara yang terkuat di peringkat Eropah pada masa itu.

Selepas berjaya menghasilkan 13 gol di saingan Serie A, Klinsmann mendapat panggilan untuk menyertai skuad kebangsaan Jerman ke Piala Dunia 1990.

Bagi yang mengikuti aksi pasukan Jerman di Piala Dunia 1990, anda pasti tidak boleh melupakan bagaimana Klinsmann memacu 10 pemain Jerman menewaskan Belanda di peringkat 16 terakhir kejohanan tersebut.

Rudi Voller dilayangkan kad merah pada minit ke-22 perlawanan. Tidak ramai yang memberikan harapan kepada Jerman selepas itu, mengambil kira deretan pemain bintang yang berada di dalam kesebelasan utama Belanda seperti Ruud Gullit, Ronald Koeman, Marco van Bansten, Danny Blind dan juga Frank Rijkaard.

Tetapi sebaliknya yang berlaku. Beraksi sebagai penyerang tunggal, lariannya ketika ‘off-the ball’ (tanpa bola), sering kali membuka ruang pertahanan Belanda.

Klinsmann turut menyumbang 1 gol dalam kemenangan 2-1 ke atas Belanda untuk membawa pasukan Jerman yang masih dikenali sebagai Jerman Barat pada ketika itu untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Jerman muncul juara Piala Dunia 1990. Jurulatih dan pengendali Jerman, Franz Beckenbauer menyimpulkan persembahan Klinsmann selepas kejohanan tersebut sebagai:

“Untuk satu dekad sebelum ini, tidak ada seorang penyerang pun dari pasukan DFB yang mampu beraksi sebaik ini. Ia adalah persembahan yang hampir sempurna dari seorang peyerang.”

Selepas bersama Inter Milan, Klinsmann berpindah ke Ligue 1 di mana Klinsmann membantu AS Monaco layak ke peringkat separuh akhir UEFA Champions League.

Embed from Getty Images

Di Perancis, Klinsmann mulai menunjukkan kualiti-kualiti lain miliknya. Beliau adalah seorang pemimpin ketika berada di atas padang walaupun punyai karakter seorang budiman ketika berada di luar padang.

Klinsmann bukan sahaja digeruni kerana penyudahnya yang tajam. Tetapi penyerang Jerman ini mampu melakukan hantaran maut, untuk memberi laluan kepada rakan sepasukan yang lain untuk menjaringkan gol.

Ini menjadikan Klinsmann seakan-akan seorang penyerang dengan profil yang lengkap dan dianggap elegan – mempesonakan sesiapa sahaja yang menyaksikan perlawanan membabitkan dirinya.

Selain daripada kebolehan menggunakan kedua-dua belah kakinya, Klinsmann adalah seorang penyerang yang gemar menggunakan kepala untuk menanduk masuk jaringannya.

Kebolehan Klinsmann untuk menggunakan pelbagai kaedah untuk memburu gol hanya membuktikan pemain ini adalah seorang penyerang memiliki naluri seorang penyerang bola sepak semula jadi.

Jika Klinsmann masih beraksi pada era ini, sudah tentu beliau adalah penyerang moden yang mampu menjadi pemain No.9 atau pun beraksi di posisi No.10 seperti mana Francesco Totti pernah lakukan bersama AS Roma.

Perpindahan berprofil tinggi ke Tottenham Hotspur pada musim panas 1994 disifatkan ramai sebagai bermotifkan wang semata-mata.

Walau apa pun motif perpindahan Klinsmann ke England, pemain ini telah mengubah cara bola sepak dimainkan di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Klinsmann bukan sahaja punyai fizikal yang sesuai untuk saingan di EPL yang terkenal dengan corak hantaran jauh dan fizikal pada masa itu, namun beliau membawa seni yang telah hilang daripada bola sepak Inggeris- seni yang pernah dilihat hanya pada era George Best.

Embed from Getty Images

21 gol daripada 41 penampilan bersama kelab London tersebut, pantas menjadikan Klinsmann seorang legenda di White Hart Lane.

Semusim di England, Klinsmann mengambil keputusan untuk kembali ke Jerman untuk menyertai Bayern Munich. 31 gol daripada 65 penampilan sepanjang tempoh 2 musim, Klinsmann membantu kelab Bavarian itu memenangi kejuaraan Bundesliga dan juga Piala UEFA.

Di penghujung karier profesional sebagai pemain, Klinsmann turut pernah beraksi bersama Sampdoria, sebelum kembali ke Tottenham. Karier kelab Klinsmann berakhir di Amerika Syarikat, bersama Orange County Blue Star.

Pada masa yang sama karier antarabangsa Klinsmann turut berkembang. Jurgen Klinsmann juga menjadi pemain penting dalam pasukan kebangsaan Jerman.

Embed from Getty Images

108 penampilan menjadikan Klinsmann sebagai pemain ke-3 dengan penampilan terbanyak untuk negaranya.

47 gol yang dijaringkan oleh Klinsmann untuk Jerman juga merupakan yang ke-3 tertinggi untuk juara 4 kali Piala Dunia itu.

Juergen Klinsmann punyai sentuhan emas, jika bola sepak Jerman yang kita bicarakan.

Jurgen Klinsmann adalah individu yang istimewa untuk bola sepak Jerman. Beliau bukan sahaja memberi impak di atas padang sebagai seorang pemain, malah turut menabur jasa sebagai jurulatih skuad kebangsaan Jerman.

Sejak era Klinsmann, pencapaian Jerman di pentas antarabangsa adalah tidak konsisten dan kurang memberangsangkan. Klinsmann mengubahnya pada 2004 ketika dilatik sebagai jurulatih skuad kebangsaan negaranya.

Embed from Getty Images

Hasilnya, Klinsmann berjaya mengemudi pasukan Jerman ke separuh akhir Piala Dunia 2006. Walaupun tidak memenangi kejohanan yang dianjurkan sendiri oleh negaranya itu, Klinsmann telah membentuk asas kepada skuad kebangsaan Jerman yang ada pada hari ini.

Klinsmann mungkin sudah tidak bersama skuad kebangsaan Jerman. Tetapi legasinya diteruskan oleh bekas pembantunya, Joachim Low dan hasilnya, Jerman adalah juara Piala Dunia 2014.

Selain daripada skuad kebangsaan Jerman, Klinsmann turut pernah mengendali pasukan kebangsaan Amerika Syarikat dari tahun 2011 sehingga 2016.

Walaupun tanpa rekod sebagai seorang jurulatih pasukan kebangsaan, nama Jurgen Klinsmann tetap dikenang sebagai seorang legenda di dalam arena bola sepak dunia.

Namanya kurang menjadi sebutan kerana berada sebentar sahaja di setiap kelab yang disertainya. Namun jika pencapaian dan kebolehannya yang menjadi ukuran, bagaimanakah hendak kita nafikan kehebatan dan legasi yang diperkenalkan oleh Jurgen Klinsmann?

Kongsi artikel ini