Junior Edstal Tahu Ramai Akan Salah Faham Selepas Video Kelab Malam Tular

Tatkala semua penyokong bola sepak tanah air ibarat sedang dibuai ombak meraikan kejayaan pasukan negara melayakkan diri ke Piala Asia 2023 buat kali pertama secar merit selepas 42 tahun, tular sebuah video segelintir pemain Harimau Malaya meraikannya di sebuah kelab malam.

Bukanlah tidak boleh diraikan, tetapi meraikan kejayaan di kelab malam sentiasa akan mendapat respon negatif di kalangan masyarakat Malaysia yang majmuk.

Ini kerana ia boleh menimbulkan perspektif negatif disebabkan ia bukan budaya kebiasaan majoriti daripada kita.

Dihubungi oleh portal HarimauMalaya.com, Junior bagaimana pun menjelaskan perkara sebenar.

“Saya faham video tersebut terutama di sini boleh kelihatan buruk, tetapi saya enggan menyentuh sangat mengenai video [yang tular],” kata Edstal.

“Kami hanya keluar sesama rakan sepasukan meraikannya bersama terutama pemain yang non-Muslim, kami hanya raikan kejayaan bersama family dan rakan-rakan setelah hampir sebulan tidak berjumpa.

“Ia adalah detik indah [untuk diraikan] untuk kami setelah apa yang berjaya dicapai untuk negara.

“Dan pagi ini kami hanya bersama keluarga masing-masing dan anak-anak, dan selepas ini masing-masing akan kembali fokus kepada saingan di peringkat domestik.”

Dalam perlawanan pada malam tadi, Malaysia mendahului perlawanan pada minit ke-16 perlawanan melalui sepakan penalti Safawi Rasid selepas pemain negara, Matthew Davies dikasari oleh pemain pertahanan lawan di dalam kotak penalti.

Bangladesh bagaimana pun berjaya menyamakan kedudukan melalui tandukan Mohamad Ibrahim pada minit ke-31 perlawanan hasil gerakan set-pieces menarik yang berpunca daripada lontaran ke dalam jarak jauh.

Malaysia tidak menunggu lama untuk terus merobek gawang Bangladesh pada babak kedua perlawanan, apabila terus melebarkan kedudukan melalui Syafiq Ahmad, hanya dua minit selepas babak kedua bersambung.

Kem negara ibarat berpesta dan menambah satu lagi gol untuk memadam terus cabaran Bangladesh apabila Darren Lok mudah menolak masuk gol keempat pasukan Malaysia pada minit ke-73 untuk melengkapkan kemenangan.

Kongsi artikel ini