Jumlah Tiket Terjual Untuk Perlawanan Menentang Bahrain Masih Rendah

Jika jumlah terkini tiket perlawanan membabitkan pasukan Malaysia menentang Bahrain diambil kira, maka hasrat pasukan negara untuk mendapatkan sokongan ‘fullhouse’ di Stadium Nasional Bukit Jalil tidak akan kesampaian.

Menurut laporan tidak rasmi yang didedahkan oleh satu sumber, sehingga jam 6 petang semalam, hanya 39,000 tiket perlawanan untuk menyaksikan perlawanan pada malam ini telah terjual.

Jumlah tersebut sebenarnya masih jauh berbanding kapasiti sebenar stadium tersebut yang boleh memuatkan 85,000 penyokong pada satu-satu masa.

Seramai 21,591 penyokong pasukan negara direkodkan hadir pada perlawanan pertama menentang Turkmenistan pada Rabu lalu.

Timbul persoalan apakah lagi yang perlu dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menggalakkan lebih ramai penyokong hadir ke stadium untuk memberikan sokongan kepada pasukan negara.

Antara langkah untuk mempromosikan perlawanan oleh FAM sebelum ini ialah dengan menjual tiket perlawanan secara pukal, bernilai RM100 untuk semua lima perlawanan membabitkan pasukan negara – termasuk dua perlawanan persahabatan menentang Brunei dan Hong Kong.

Golongan orang kurang upaya (OKU) pula diberikan kemasukan secara percuma untuk menyaksikan semua perlawanan.

Jumlah tiket perlawanan yang terjual dijangka akan terus meningkat menjelang perlawanan pada malam ini.

Selepas menewaskan Turkemistan 3-1 pada Rabu lalu, skuad kendalian Kim Pan-gon kini menduduki tangga teratas Kumpulan E, mengatasi Bahrain dengan kelebihan jaringan.

Peluang Malaysia beraksi di pusingan akhir Piala Asia 2023 semakin cerah sekiranya berjaya mengejutkan Bahrain pada malam ini.

Skuad Harimau Malaya akan menutup saingan Kumpulan E bertemu Bangladesh pada 14 Jun akan datang.

Kongsi artikel ini