Jordi Amat Kini Jadi Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia, Ketiga Di Rantau Asia Tenggara

Pengumuman oleh JDT yang mengesahkan Jordi Amat selaku pemain import terbaru pasukan itu semalam menjadikan pemain itu kini menjadi pemain paling bernilai beraksi di Liga Malaysia pada musim ini.

Ini sekali gus menjadikan Jordi Amat sebagai pemain import paling bernilai memperagakan aksi di kancah saingan bola sepak tempatan.

Berdasarkan data oleh laman Transfermarkt, Jordi dinilai pada tanda harga Є1 juta (RM4.59 juta).

Nilai tersebut mengatasi nilai semasa seorang lagi pemain import JDT, Fernando Forestieri yang sebelum ini dinilai pada tanda harga €900,000 atau bersamaan dengan RM4.16 juta.

Nilai semasa Jordi Amat menurut Transfermarkt.

Ini bermakna dua daripada tiga pemain import paling bernilai di Liga Malaysia kini beraksi bersama skuad Harimau Selatan.

Pemain ketiga paling bernilai pula adalah penyerang import Selangor FC, Hyuri, dinilai pada harga €650,000 atau bersamaan dengan RM3.01 juta.

Walaupun berpengalaman luas di pentas eropah dan memiliki lebih 100 penampilan di La Liga dan Premier League, Jordi Amat bukanlah pemain paling bernilai yang beraksi di rantau Asia Tenggara.

Diego Lopes dari Brazil yang kini beraksi bersama Lion City Sailors dianggap pemain paling bernilai di rantau Asia Tenggara apabila dinilai oleh Transfermarkt pada tanda harga €1.6 juta (RM7.34 juta).

Top 10 pemain paling bernnilai pada awal musim 2022 oleh Transfermarkt.

Rakan sepasukan beliau di Lion City, Pedro Henrique pula dinilai pada harga €1.3 juta (RM5.96 juta).

Jordi Amat yang juga merupakan calon pemain naturalisasi skuad kebangsaan Indonesia disahkan oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) baru-baru ini dan dijangka akan mengisi slot pemain import dari ASEAN.

Ketibaan Jordi Amat akan memperkukuhkan lagi benteng pertahanan skuad Harimau Selatan yang turut akan menyambung kempen mereka di pertandingan AFC Champions League pada Ogos nanti.

Kongsi artikel ini