Jersi Liverpool Habis Stok

Juara Liga Perdana Inggeris yang baharu Liverpool dilaporkan akan kehabisan stok jersi replika selepas memecah rekod jualan 1.7 juta helai pada musim ini.

Jersi jenama New Balance yang digunapakai pada musim ini adalah jersi paling laku di dalam sejarah The Reds, sehingga menyebabkan kelab kehabisan stok.

Pegawai kelab dikatakan terpaksa menghubungi New Balance untuk tambahan tempahan berikutan permintaan tinggi jersi edisi musim ini setelah Liverpool menamatkan kemarau kejuaraan selama 30 tahun untuk bergelar juara England.

Bagaimanapun syarikat pengeluar barangan dan pakaian sukan yang berpengkalan di Amerika Syarikat itu dikatakan tidak akan memenuhi permintaan kelab Merseyside itu kali ini.

Ini bermakna Liverpool berhadapan kemungkinan tidak dapat memenuhi permintaan penyokong mereka, dan menyebabkan tempahan secara online kini menjadi terhad.

Hubungan New Balance dan Liverpool bertukar keruh pada musim ini setelah juara eropah dan dunia itu menang kes di Mahkamah Tinggi pada tahun lalu, sekaligus memberi laluan Liverpool beralih kepada Nike sebagai pembekal rasmi jersi mulai musim hadapan.

Perjanjian bersama Nike sepatutnya bermula pada 1 Jun, namun terpaksa ditangguhkan selama dua bulan akibat penangguhan saingan.

Liverpool memecah rekod jualan jersi mereka untuk tiga musim berturut-turut, yang membawa maksud peningkatan populariti kelab tersebut di seluruh dunia sejak ketibaan Jurgen Klopp.

Dan setelah bergelar juara Inggeris, Liverpool sudah pasti berharap mampu untuk memecah rekod jualan pada tahun-tahun mendatang.

Kerjasama Liverpool bersama Nike adalah yang termewah di dalam sejarah penajaan jersi di Anfield.

Liverpool dilaporkan akan memperolehi 20% daripada hasil jualan jersi dan cenderahati yang dikeluarkan Nike di seluruh dunia.

 

Kongsi artikel ini