JDT Sahkan Shane Lowry Alami Kecederaan Patah Siku

Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan pemain pertahanan import dari Australia, Shane Lowry mengalami kecederaan patah tulang siku dalam perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC pada malam tadi.

Dalam perlawanan tersebut, Shane Lowry terpaksa dikeluarkan oleh Hector Bidoglio pada minit ke-62 perlawanan selepas bertembung dengan pemain sayap Kedah, Al Hafiz Harun.

Pemain itu kelihatan menanggung kesakitan sambil terbaring di atas padang buat seketika dan menerima rawatan daripada pasukan medik JDT sebelum dibawa keluar dan digantikan oleh Aidil Zafuan Abdul Razak.

Shane turut terpaksa terus menjalani pembedahan pada hari ini di Johor Bahru dan kecederaan ini bermakna beliau terpaksa melupakan baki saingan Liga Super pada musim ini.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim mendoakan Shane Lowry agar segera sembuh ekoran patah siku akibat perlanggaran pada perlawanan menentang Kedah Darul Aman malam tadi.

“Beliau akan menjalani pembedahan di Johor Bahru hari ini.

“Doa dan ingatan kami sentiasa bersama anda, Shane. Semoga lekas sembuh!” ujar kenyataan daripada kelab pada hari ini.

Shane Lowry merupakan antara tonggak utama skuad Harimau Selatan sejak menyertai pasukan itu pada Mei tahun lalu.

Jika pada musim lalu pemain dari Australia ini membentuk gandingan mantap bersama Mauricio dos Santos, musim ini menyaksikan pemain ini berjaya membentuk gandingan yang baik bersama Shahrul Saad di bahagian benteng JDT.

Bekas pemain Al-Ahli di Liga Qatar itu setakat ini telah melakukan 16 penampilan di dalam liga untuk JDT, selain tiga penampilan di Piala FA, dan merupakan pemain utama untuk pasukan itu di AFC Champions League pada musim ini.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman pada malam tadi, JDT berjaya menewaskan Kedah Darul Aman FC dengan jaringan 3-1 walaupun selepas ketinggalan terlebih dahulu, sebelum beraksi dengan hanya 10 pemain pada babak kedua perlawanan.

Bergson da Silva terlebih dahulu berjaya memadam kelebihan satu gol pasukan tuan rumah, sebelum pemain itu menerima layangan kad merah atas tindakannya menumbuk kepala pemain pertahanan Kedah, Rodney Calvin pada penghujung babak pertama perlawanan.

Beraksi dengan 10 pemain pada babak kedua di hadapan 15,000 penyokong tuan rumah memaksa pengendali pasukan, Hector Bidoglio tiada pilihan selain daripada melakukan sedikit rombakan pada permulaan babak kedua dengan memasukkan Syafiq Ahmad untuk menggantikan Akhyar Rashid.

Perubahan taktikal itu bagaimanapun berhasil, apabila Syafiq menyumbang kepada sepakan penalti yang disempurnakan oleh Leandro Velasquez pada minit ke-60, selepas pemain itu dijatuhkan oleh Azmeer Aris.

Afiq Fazail kemudiannya melengkapkan kemenangan 3-1 JDT di Stadium Darul Aman hasil rembatan deras daripada dalam kotak penalti selepas menerima hantaran Arif Aiman.

Kongsi artikel ini