JDT Sahkan Safawi Dan Sidibe Sertai Ratchaburi FC

Most Valuable Player (MVP) Liga Malaysia musim 2018 dan 2019, Safawi Rasid sah akan beraksi di Liga 1 Thailand pada musim hadapan.

Perkara itu didedahkan kali pertama oleh media luar negara, Main Stand- International pada hari ini sebelum mulai tular di dalam negara.

Menurut laporan tersebut, perpindahan Safawi daripada JDT disahkan sendiri oleh Pengerusi Ratchaburi FC, Tanawat Nitikanchana .

Ini menjadikan Safawi pemain kedua beraksi di Liga 1 Thailand pada musim yang sama selepas Liridon Krasniqi menyertai Khon Kan United.

Menurut Tanawat, Safawi akan menyertai Ratchaburi selepas selesai tugasan pemain itu bersama skuad Harimau Malaya di Piala AFF Mitsubishi Elektrik yang akan berlangsung sepanjang Disember sehingga Januari hadapan.

“Ketika ini, segala perjanjian sudah diselesaikan,” kata Tanawat berdasarkan sumber tersebut.

“Dia [Safawi] akan menyertai pasukan kami selepas menyelesaikan tugas antarabangsa [bersama skuad Harimau Malaya di Piala AFF]

“Dan saya berharap ia [perpindahan] akan membawa manfaat dan kebaikan kepada kelab kami,” katanya.

Ia bukan perkara menghairankan Safawi berusaha untuk mencari angin baharu untuk menghidupkan kembali kariernya.

Kebangkitan Arif Aiman di posisi yang sama sering kali menyisihkan Safawi ke bangku pemain simpanan sejak dua musim yang lalu.

Malah ketika beraksi bersama skuad kebangsaan, Safawi terpaksa beraksi di posisi tengah. atau sebagai pemain No.10 dan bukannya di posisi penyerang sayap yang digemarinya untuk memberi laluan kepada Arif Aiman di posisi tersebut.

Sebelum ini terdapat desas desus Safawi akan kembali ke Terengganu untuk saingan musim hadapan, namun pemain yang pernah berkelana di Portugal itu kini nampaknya memilih untuk ke Thailand.

Pengumuman TMJ baru-baru ini bahawa kelab itu akan membawa sekurang-kurngnya tiga pemain import baharu bermakna pemain import sedia ada turut perlu dilepaskan.

Sehubungan dengan itu, JDT sebentar tadi turut mengumumkan Moussa Sidibe turut mengikut jejak langkah Safawi ke Ratchaburi.

Juara Liga Super Malaysia sembilan kali berturut-turut itu turut mengesahkan perpindahan kedua-dua pemain adalah berstatatus pinjaman.

Liga Thai bukanlah saingan yang asing buat pemain dari Malaysia menimba pengalaman. Antara pemain yang pernah beraksi di negara jiran itu adalah seperti Dominic Tan bersama Police Tero (2019-2021; Mohamadou Sumareh bersama Police Tero (2020-2021); Shahrel Fikri dengan Nakhon Ratchasima (2018); Norshahrul Idlan Talaha bersama BG Pathum (2020); Junior Eldstal dengan Chonburi FC (2021) dan ramai lagi.

Kongsi artikel ini