JDT Sah Beraksi Di ACL 2021 Undian Berlangsung Esok

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John mengesahkan permohonan kelab Johor Darul Ta’zim menyertai saingan Liga Juara-Juara Asia musim 2021 telah diluluskan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Keputusan itu telah dipersetujui oleh jawatankuasa pertandingan dan EXCO sudah meluluskan permohonan JDT untuk bertanding edisi tahun ini.

“Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor dan sokongan Kerajaan yang telah memberi surat dan sebagainya,” ujar Windsor dalam satu sidang media.

Perkembangan ini nyata melegakan skuad Harimau Selatan berikutan pada 11 November 2020 yang lalu mereka terpaksa menarik diri daripada menghabiskan baki perlawanan dalam kumpulan di Doha selepas kerajaan tidak membenarkan pergerakan keluar masuk di pintu sempadan negara sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan pandemik Covid-19 yang sedang memuncak pada ketika itu.

Penarikan diri mereka dalam saingan ACL 2020 itu memungkinkan kelab Johor Darul Ta’zim akan dikenakan penggantungan selama dua tahun dari menyertai saingan yang berprestij tinggi itu.

Bagaimanapun banyak pihak telah mempertikaikan dakwaan penolakan pendaftaran JDT oleh AFC adalah tidak adil bagi Juara AFC 2015 itu kerana ia bukanlah berpunca daripada kelab itu sendiri.

Pengundian ACL 2021 akan berlangsung esok dengan skuad Harimau Selatan diletakkan dalam balang tiga. Saingan kejohanan ini akan bermula pada awal bulan April ini sehingga bulan November 2021.

Pengundian ini akan dilangsungkan di saluran youtube #ACL2021 – Group Stage Official Draw pada jam 4.30 petang.

Juara kejohanan tertinggi di Asia ini menjadi milik kelab dari Korea Ulsan Hyundai FC yang telah menewaskan Persepolis FC 2-1 dari Iran.

Ulsan Hyundai FC-ACL2020-Winners

Kongsi artikel ini