JDT Peruntuk Lebih Banyak Tiket Untuk Penyokong Selangor Hadir Ke ‘2020 World Stadium Of The Year’

Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) memperuntukkan sebanyak 400 tiket perlawanan untuk penyokong The Red Giants yang bakal bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim bagi menyaksikan perlawanan Liga Super Malaysia (MSL) membabitkan kedua-dua pasukan itu.

Menurut kenyataan daripada JDT sebentar tadi, jumlah tersebut adalah lebih banyak daripada jumlah yang dipinta oleh Selangor FC.

Jumlah asal yang dimohon oleh Selangor FC adalah sebanyak 300 keping tiket perlawanan.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menyediakan 400 tiket kepada Selangor FC untuk perlawanan Liga Super Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim pada 24 Jun nanti.

“Selangor telah meminta 300 tiket ‘away’ tetapi JDT telah menyediakan 400 tiket bagi memberikan lebih ramai penyokong pasukan pelawat hadir ke ‘2020 World Stadium of the Year’,” ujar kenyataan tersebut.

Kedua-dua pasukan akan berhadapan di antara satu sama lain pada 24 Jun hadapan. Perlawanan tersebut merupakan pertemuan pertama di antara kedua-dua pasukan pada musim ini.

Perlawanan di antara JDT dan Selangor sering menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan memandangkan kedua-dua kelab dianggap sebagai antara seteru besar bola sepak tanah air pada hari ini.

Perlawanan pada musim lalu menyaksikan JDT menewaskan Selangor 3-1 di Stadium MBPJ, sebelum kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Stadium Sultan Ibrahim.

Kongsi artikel ini