JDT Nafi Pemain Tarik Minat Kelab Eropah, Tuduh Ejen Saja Buat Cerita

Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menafikan mana-mana pemain dari kelab tersebut telah menarik kelab dari Eropah.

Kenyataan oleh juara Liga Super enam kali berturut-turut tersebut dipercayai dikeluarkan susulan laporan sebuah akhbar yang menyatakan beberapa pemain pasukan negara diintai pasukan dari Eropah.

Antaranya adalah Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan juga Syammer Kutty Abba yang merupakan pemain JDT. Dua pemain lain yang turut dinyatakan dalam laporan tersebut adalah Irfan Zakaria dan pemain pertahanan Selangor, Syahmi Safari.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Alistair Edwards selaku Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim, jika ada kelab luar berminat dengan mana-mana pemain kelab itu, maka beliau atau pun Martin Prest selaku Pengarah Sukan akan menjadi yang pertama mengetahui akan hal tersebut.

“Jika ada kelab-kelab luar negara yang berminat dengan mana-mana pemain Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), orang pertama yang akan tahu mengenainya adalah saya sebagai Pengarah Teknikal atau Martin Prest selaku Pengarah Sukan,” ujar Alistair dalam kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Alistair turut melahirkan rasa hairan beliau bagaimana ada ejen tempatan yang lain boleh mengetahui dan mendakwa mengetahui ada minat dari luar negara untuk pemain-pemain tersebut.

“Mereka akan menghubungi JDT. Jikalau tiada sebarang komunikasi tetapi terdapat mana-mana ejen tempatan yang mendakwa ada minat dari luar negara, ia adalah hanya dua perkara. Sama ada cerita tersebut adalah cerita dongeng ataupun ejen tersebut hendak membuat duit.

“Sekiranya perkara itu adalah benar, kelab tersebut ataupun ejen luar negara yang dilantik oleh mereka akan menghubungi kami sendiri.

zz’Kami mempunyai pengalaman dalam ‘the business of football’ dimana kami adalah satu-satunya kelab dalam negara yang menjual pemain. Contohnya kami telah menjual Juan Martin Lucero sebanyak USD2.5 juta.,” tambah Alistair lagi.

 

Kongsi artikel ini