JDT Nafi Pancing Atiq

Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) pada hari ini menafikan spekulasi kelab itu cuba memancing pemain Terengganu FC II, Muslihuddin Atiq Mat Zaid.

Sebelum ini khabar angin di media sosial bertiup kencang mengaitkan juara Piala FA musim ini itu dengan bintang skuad SUKMA Terengganu yang memenangi pingat emas di temasya itu baru-baru ini.

Malah pemain itu sendiri turut melahirkan rasa terkejut apabila turut dikaitkan dengan skuad Harimau Selatan pada musim hadapan.

Melalui kenyataan oleh JDT, Pengarah Teknikal kelab, Alistair Edwards menafikan JDT mempunyai sebarang perancangan untuk membawa Atiq ke Stadium Sultan Ibrahim pada musim hadapan.

Namun demikian, JDT tidak menafikan akan membawa masuk sekurang-kurangnya seorang pemain tempatan untuk memperkuatkan pasukan untuk Liga Malaysia 2023.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ingin menjelaskan bahawa tiada tawaran telah dibuat kepada pemain Terengganu FC II, Muslihuddin Atiq Mat Zaid.

“JDT sedang dalam perbincangan dengan beberapa pemain luar negara dan berkemungkinan akan menandatangani seorang pemain tempatan, tetapi pemain tersebut bukanlah Atiq.

“Kami terkejut dengan berita tentang tawaran yang sudah dilakukan kepada Atiq. Kami juga tertanya-tanya dari mana Atiq mendapat tawaran tersebut kerana tiada walau seorang pun staf teknikal termasuk saya selaku Pengarah Teknikal atau Martin Prest, Pengarah Sukan telah membuat tawaran kepada pemain tersebut,” ujar kenyataan tersebut.

Kongsi artikel ini