JDT Nafi Mahu Naturalisasikan Cabrera, Apa Beza Dengan De Paula, Liridon Dan Sumareh?

JDT menafikan telahan netizen dan pemerhati bola sepak di Malaysia bahawa kelab itu akan meneutralisasikan bekas penyerang import dari Argentina, Gonzalo Cabrera dalam masa terdekat.

Sejak beberapa bulan lalu, ramai bertanggapan JDT akan melengkapkan proses naturalisasi Cabrera pada jendela perpindahan kedua yang dibuka sejak 28 Mei lalu.

Malah pengumuman JDT yang akan membawa masuk beberapa muka baharu termasuk dua pemain tempatan telah menguatkan andaian tersebut.

Kenyataan JDT

Perkara itu bagaimana pun dinafikan oleh Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards melalui satu kenyataan pada lewat malam tadi.

“Saya ingin menyangkal dakwaan yang tular mengenai Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ingin menandatangani semula Gonzalo Cabrera sebagai pemain naturalisasi,” kata Alistair dalam kenyataan tersebut.

“Kelab telah membuat keputusan untuk tidak menandatangani Cabrera kerana Malaysia Football League mempunyai peraturan bahawa pemain naturalisasi bukan warisan perlu menjadi warganegara Malaysia untuk lima tahun selepas mendapat kerakyatan sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan, melainkan di bawah program naturalisasi kebangsaan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia.

“Oleh itu, JDT mengambil keputusan untuk tidak menandatangani Cabrera memandangkan beliau akan berusia 38 tahun selepas lima tahun tersebut.”

Peraturan naturalisasi bukan warisan

Walaupun sekiranya JDT berniat untuk menaturalisasikan Cabrera, kelab itu harus menunggu lima tahun lagi sehingga Cabrera berusia 38 tahun untuk membenarkan pemain itu beraksi bersama mereka.

Situasi Cabrera adalah berbeza berbanding apa yang dilalui oleh Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula.

Ketiga-tiga pemain ini tidak perlu menunggu lima tahun tambahan selepas menjadi warganegara untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan. Ini kerana ketiga-tiga mereka dinaturalisasikan oleh program naturalisasi kebangsaan FAM.

Pada hari ini FAM sudah menghentikan program tersebut, namun membenarkan kelab Liga Malaysia untuk menaturalisasikan pemain, mengikut syarat asal pertandingan dan perundangan negara.

FIFA vs Perundangan negara untuk pemain warisan

Perkara ini bagaimanapun berbeza dengan pemain warisan. Pemain warisan hanya perlu menampilkan dokumen yang sah sebagai bukti memiliki pertalian darah dengan Malaysia untuk dinaturalisasikan terus sebagai pemain tempatan.

Bagaimana pun untuk pemain warisan yang tidak memiliki passport Malaysia, mereka terlebih dahulu harus menyerahkan passport negara tempat mereka bermaustautin kerana perundangan negara tidak membenarkan dwi kerakyatan – walaupun FIFA membenarkannya.

Kongsi artikel ini