JDT Sah Akan Terima ‘Guard Of Honor’ Di Stadium Darul Aman

Juara Liga Super Malaysia 2022, JDT sah akan menerima penghormatan ‘Guard of Honor’ sebelum sepak mula perlawanan pada malam ini.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Kedah Darul Aman FC (KDA FC) melalui satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.

Sebelum ini timbul tanda tanya di kalangan peminat bola sepak tempatan sama ada JDT yang mengesahkan kejuaraan pada Sabtu lalu dan KDA FC akan menjadi lawan pertama kelab dari selatan tanah air itu selepas bergelar juara.

“Isyarat penghormatan (Guard of Honor) dari KDA FC dengan membawa tanda, bolasepak adalah perpaduan dan hormat kepada pasukan lawan seterusnya membuktikan walaupun bermusuh di atas padang, namun hormat menghormati antara pasukan, penyokong adalah kunci kepada perpaduan sejagat melalui bolasepak,” ujar kenyataan daripada KDA FC.

“Sang Kenari akan melakukan GUARD OF HONOUR kepada pasukan JDT malam ini sebagai penghormatan kepada pasukan Harimau Selatan itu, selepas menjuarai Liga Super 2022.”

Melalui kenyataan yang sama, KDA FC turut engalu-alukan kedatangan penyokong Harimau Selatan dan juga Sang Kenari di Stadium Darul Aman pada malam ini. Kelab itu menjangkakan sekitar 15,000 kehadiran untuk menyaksikan perlawanan pada malam ini.

‘Guard of Honor’ adalah sesuatu yang masih janggal di negara ini walaupun kerap dilakukan di luar negara khususnya di Eropah.

Ia adalah tradisi yang diamalkan untuk memperakui kehebatan lawan, selain memberikan penghormatan dan simbolik kepada semangat kesukanan.

Namun demikian, ia tidak wajib diamalkan dan perlu mendapat persetujuan kedua-dua pasukan terlebih dahulu sebelum diteruskan.

Respon KDA FC di dalam perkara ini wajar dipuji kerana ia datang dengan niat yang baik untuk meraikan sukan bola sepak sebagai medium perpaduan terbaik di negara ini.

Kongsi artikel ini