Jaringan Solo Ronald Ngah Dinobatkan Gol Terbaik Peringkat Kumpulan Piala AFC 2022

Jaringan solo oleh Ronald Ngah Wanja ketika membantu pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menewaskan Visakha FC 5-1 di aksi peringkat kumpulan Piala AFC 2022 dinobatkan sebagai gol terbaik peringkat kumpulan Piala AFC 2022.

Dalam perlawanan tersebut, Ronald Ngah kurang bernasib baik apabila terlebih dahulu gagal menyempurnakan sepakan penalti yang dimenangi pasukannya.

Namun ia tidak melunturkan semangat pemain import dari Cameroon itu untuk terus membantu pasukan.

Ketinggalan 0-1 selepas itu selepas Visakha mendahului hasil gerakan set-pieces mengelirukan, Kedah kembali ke dalam saingan melalui hatrik Mahmoud Al-Mardi yang menjaringkan gol pada minit ke-28, minit ke-45 dan minit ke-54 perlawanan.

Kemudian Ronald Ngah sempat melakukan assist setelah hantaran dari sebelah kiri serangan berjaya menemui Fayadh Zulkifli untuk jaringan keempat KDA FC.

Selepas itu giliran Ronald Ngah menebus kehampaan apabila larian solo dari bahagian tengah padang berjaya mengelirukan beberapa pemain Visakha sebelum bola dengan mudah ditolak masuk pemain itu untuk KDA FC menang mudah 5-1.

KDA FC akan meneruskan saingan di Piala AFC yang memasuki peringkat separuh akhir zon ASEAN berhadapan PSM Makassar di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali malam ini.

Ketua jurulatih skuad Sang Kenari, Aidil Sharin Sahak percaya barisan pemain sudah bersedia sepenuhnya dalam usaha melakar sejarah mara ke peringkat akhir zon ASEAN tetapi dalam masa yang sama enggan memandang ‘enteng’ cabaran pasukan lawan.

Sudah tentu Aidil berharap barisan anak buahnya mampu mengulangi prestasi sama ketika mereka membenam Visakha FC sebelum ini.

Kongsi artikel ini