“It Has B-Gan!!!” – Brendan Gan Jaring Gol Bantu Selangor ‘Amuk’ Sarawak Utd

Ia adalah antara perkara yang paling dinanti-nantikan oleh penyokong Selangor dan peminat bola sepak tanah air.

Terpaksa disisihkan selama setahun selepas disahkan menhidap kanser testis pada Jun tahun lalu, Brendan Gan kembali berada di dalam kesebelasan utama skuad The Red Giants untuk perlawanan menentang Sarawak United di saingan Liga Super Malaysia (MSL) pada malam tadi.

Pemain tengah berusia 34 tahun itu tidak perlu menunggu lama untuk menghadirkan impak kepada pasukan. Hanya selepas 7 minit perlawanan berlangsung, Brendan meletakkan Selangor di hadapan selepas merembat masuk bola dari dalam kotak penalti untuk menewaskan Sharbinee Alawi.

Ia adalah gol pertama daripada penampilan pertama kapten Selangor itu pada musim ini. Selangor tidak menoleh ke belakang lagi selepas itu, apabila terus merobek gawang Sarawak United melalui jaringan oleh Hyuri, hatrik Caion, Nor Hakim Hassan dan Aliff Haikal pada masa kecederaan .

Menang 7-0, ia adalah kemenangan terbesar yang direkodkan di saingan MSL pada musim ini.

Sejak terpaksa disisihkan pada tahun lalu, kehadiran Brendan di dalam skuad kebangsaan amat dirindui oleh penyokong pasukan Harimau Malaya.

Brendan memainkan peranan penting di pusingan pertama dan peringkat awal pusingan kedua kelayakan Piala Asia pada 2019, apabila membantu pasukan negara kendalian Tan Cheng Hoe pada ketika itu menewaskan Indonesia 3-2 di Stadium Gelora Bung Karno, menang 2-0 ke atas lawan yang sama di Stadium Nasional Bukit Jalil, dan menewaskan Thailand juga dengan jaringan 1-0 di tempat sendiri.

Sudah tentu peminat bola sepak tempatan berharap Brendan kembali cergas sepenuhnya, dan bakal bersaing dengan barisan pemain lain untuk merebut tempat di dalam skuad Kim Pan-gon yang akan beraksi di Piala Asia pada tahun hadapan.

Kongsi artikel ini